Pembangunan pendidikan Parlimen Hang Tuah Jaya dijangka meningkat RM1 juta

Adam Adli berkata dana itu merangkumi pelbagai bentuk bantuan persekolahan seperti pakaian sekolah, peralatan persekolahan, biasiswa, serta menaik taraf fasiliti dan kemudahan asas di sekolah. - Gambar fail/Bernama
MELAKA: Agenda memperkasa pembangunan pendidikan dalam kawasan Parlimen Hang Tuah Jaya dijangka meningkat kepada RM1 juta pada tahun ini, berbanding lebih RM600,000 pada tahun lepas.
Ringkasan AI
- Dana pembangunan pendidikan di Parlimen Hang Tuah Jaya meningkat kepada RM1 juta tahun ini berbanding RM600,000 tahun lepas.
- Ahli Parlimen Adam Adli Abd Halim menyatakan dana tersebut akan digunakan untuk bantuan persekolahan, peningkatan fasiliti sekolah, dan kemudahan asas untuk 23 sekolah rendah dan 11 sekolah menengah di kawasan tersebut.
- Usaha memperkasa pendidikan turut melibatkan kerjasama dengan pihak swasta, korporat, yayasan, PIBG, dan pentadbir sekolah untuk memastikan keselesaan dan keselamatan murid serta meningkatkan kualiti pendidikan.
"Pada tahun ini, kita akan meneruskan agenda memperkasa pembangunan pendidikan di sekolah-sekolah Parlimen Hang Tuah Jaya, termasuk menyelesaikan isu kekurangan fasiliti atau infrastruktur asas di bilik darjah seperti kekurangan kerusi.
"Usaha ini bukan sahaja untuk meningkatkan kualiti infrastruktur asas di sekolah, tetapi juga memastikan keselesaan dan keselamatan murid ketika menjalani sesi pengajaran dan pembelajaran," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan 100 kerusi bagi kegunaan murid Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Kampung Tun Razak 2 kepada guru besar sekolah itu, Norazurah Md Isa.
Adam Adli berkata Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Hang Tuah turut bekerjasama dengan pihak swasta, korporat dan yayasan yang menyalurkan bantuan serta sumbangan, sekali gus membantu lebih banyak program atau inisiatif dilaksanakan kepada sekolah dan murid yang memerlukan.
"Usaha ini turut dilaksanakan dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), pentadbir sekolah, pejabat pendidikan daerah dan JAIM," katanya.
Terdahulu, beliau berkata sumbangan kerusi itu diharap dapat dimanfaatkan oleh murid SRA JAIM Kampung Tun Razak 2 yang terpaksa berkongsi kemudahan asas dengan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Tun Razak.
"SRA JAIM Kampung Tun Razak 2 mempunyai 452 murid dan menumpang bangunan SK Kampung Tun Razak serta menggunakan infrastruktur seperti kerusi dan meja sekolah tersebut.
"Keadaan ini menjadi kekangan kepada murid dan guru SRA JAIM Kampung Tun Razak 2 yang menggunakan enam bilik darjah bagi dua sesi persekolahan," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


