KUALA LUMPUR: Pembangunan berterusan projek pengangkutan awam yang berorientasikan rakyat bakal membawa pelbagai faedah ekonomi kepada negara.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong berkata projek-projek seperti Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Johor Bahru-Singapore Rapid Transit System (RTS) dan Projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3) sangat penting sebagai sebahagian daripada usaha pemulihan ekonomi apabila COVID-19 menjadi endemik dalam negara.

"Kerajaan sentiasa mendengar suara semua pihak dan berusaha mencapai kesimbangan antara kesihatan, masyarakat dan ekonomi, melalui pengumuman Belanjawan 2022 yang komprehensif dan inklusif, selari dengan semangat Keluarga Malaysia demi membawa manfaat kepada negara dan rakyat.

"Pada masa sama, memastikan projek infrarakyat seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Sistem Transit Rapid (RTS) dan Projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3) dapat dibangunkan sepenuhnya, supaya ia mampu membawa lebih banyak manfaat ekonomi kepada negara," katanya dalam satu kenyataan di Facebook, pada Rabu.

Katanya lagi, kerajaan akan meneruskan pemantauan terhadap pembangunan pasaran, melaksanakan dasar mesra pelabur asing dan membantu dalam pemulihan serta merangsang industri tempatan.

Presiden MCA yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam itu berkata masyarakat harus bersedia untuk hidup bersama COVID-19 di masa hadapan kerana pandemik itu telah mengubah kehidupan harian, ekosistem industri, dan trend pembangunan.


 
Sumber Facebook wksbmenglish

Ka Siong berkata demikian selepas mengadakan perbincangan secara maya bersama Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM), pada Selasa.

Katanya, antara perkara dibincangkan termasuk Belanjawan 2022.

Tambah Ka Siong, ACCCIM telah mencadangkan kepada kerajaan supaya tidak hanya memberi tumpuan kepada Pelan Pemulihan Negara (PPN), tetapi juga perlu menambah baik prosedur operasi standard (SOP) untuk menangani pandemik COVID-19.

"Kerajaan juga digesa supaya lebih telus dan menyediakan statistik yang berkenaan, menambahbaik sistem kesihatan negara serta memperkukuhkan kemampuan negara untuk menghadapi pandemik.

"Menyentuh ekonomi domestik, kerajaan dicadangkan agar memperkenalkan pelbagai subsidi atau bantuan; pengurangan dan pengecualian cukai bagi meringankan beban rakyat dan perusahaan; serta lain-lain lagi," ujarnya.