MALAYSIA
Pembangunan perumahan di KL tak pinggir hak Melayu - PM

Anwar mempengerusikan Forum Ilmuwan Malaysia MADANI (FIM) Siri 6 di Petaling Jaya pada Rabu malam. - Bernama
PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa usaha pembangunan semula kawasan perumahan di ibu negara bukanlah satu agenda untuk mengusir atau meminggirkan penduduk Melayu.
Sebaliknya, Perdana Menteri berkata ia bertujuan memperbaiki kehidupan rakyat miskin bandar, termasuk golongan B40, Orang Kurang Upaya (OKU), dan warga emas.
Beliau menjelaskan, dakwaan kononnya pembangunan semula ini akan merampas tanah orang Melayu adalah tidak berasas.
"...Tetapi dijadikan satu isu kaum, seolah-olah hak Melayu akan dipinggir, orang Melayu akan keluarkan. Padahal secara jelas ia tidak akan terkesan dan penduduk yang asal, kekal. Itu semua jaminan dan semua itu jauh lebih baik."Sudah tentulah keadaan perumahan itu lebih besar dan sebagainya untuk memungkin ada satu bentuk subsidi silang. Hal ini apabila kita bangkit soal kaum, Islam terancam... orang Melayu (tetapi) pejuang Melayu ini apabila berkuasa, dia punggah kekayaan," katanya ketika mempengerusikan Forum Ilmuwan Malaysia MADANI (FIM) Siri 6 di sini, pada Rabu malam.
Beliau yang juga Menteri Kewangan menambah, pembangunan semula ini akan memberi manfaat kepada penduduk, dengan menyediakan kediaman yang lebih luas dan selesa.
Perdana Menteri turut mengkritik segelintir pihak yang menggunakan isu kaum untuk menentang inisiatif kerajaan dalam menyelesaikan masalah perumahan rakyat miskin.
Justeru, beliau mengalu-alukan cadangan atau kritikan daripada pelbagai pihak dalam menambah baik usaha yang sedang dirangka oleh Kerajaan Madani.
Sementara itu, Anwar memaklumkan cadangan untuk membangunkan projek perumahan di atas stesen kereta api sedang diteliti oleh kerajaan.
Jelas beliau, cadangan berkenaan sedang diteliti bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam usaha untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas.
Terdahulu, FIM membincangkan topik 'Pengangkutan untuk Rakyat: Mengimbangi Antara Kemampuan Rakyat, Kualiti dan Kemampanan Pengangkutan Awam'.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami