BALING: Seorang pembantu kantin maut selepas motosikal ditungganginya merempuh sebuah jengkaut di Jalan Kampung Besah dekat sini, pada Selasa.

Mangsa Mohammad Nasrullah Asmil, 35 tahun, maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala dan badan.

Menurut Ketua Polis Daerah Baling Supt Shamsudin Mamat, dalam kejadian jam 5 petang itu, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda itu baru selesai bekerja di kantin Sekolah Menengah Syed Abu Bakar, Kupang dan sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Ambing.

“Ketika kejadian, motosikal mangsa datang dari arah Kampung Mengkuang Hujung menghala ke Kampung Besah.

“Manakala jengkaut berada di hadapan, sedang bergerak dari arah yang sama.

“Bagaimanapun, di lokasi kejadian, mangsa mungkin tidak nampak jengkaut di hadapannya dan tidak sempat membrek lalu merempuh bahagian belakang jengkaut itu,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Shamsudin memaklumkan, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Kulim untuk bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.