Skip to main content

Malaysia

Pembaziran makanan isi rumah dikaitkan dengan perubahan gaya hidup, peningkatan pendapatan

PUTRAJAYA, 8 Jul -- Bekas Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin ketika ditemui Bernama baru baru ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Mohd Uzir berkata apabila keperluan asas isi rumah telah dipenuhi, corak penggunaan mereka mula berubah, membawa kepada pembelian yang melebihi keperluan sebenar. - Foto BERNAMA
Advertisement

PUTRAJAYA: Pembaziran makanan isi rumah di Malaysia berkait rapat dengan perubahan gaya hidup dan peningkatan tahap pendapatan, kata Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin.

Selain itu, katanya, kawasan bandar dan negeri yang mencatatkan pendapatan per kapita lebih tinggi menunjukkan kecenderungan lebih besar untuk membazirkan makanan.

Mohd Uzir berkata apabila keperluan asas isi rumah telah dipenuhi, corak penggunaan mereka mula berubah, membawa kepada pembelian yang melebihi keperluan sebenar.

"Tahap pendapatan kita telah melepasi paras tertentu. Orang ramai membeli barang melebihi keperluan asas dan kadangkala membeli barang yang tidak begitu diperlukan.  

"Dalam tinjauan kami, kami bertanya kepada isi rumah berapa banyak makanan yang mereka bazirkan, termasuk makanan yang tinggal dalam peti sejuk.. kadangkala ibu bapa membeli banyak makanan semasa promosi, manakala anak-anak mereka tanpa sedar membeli barang yang sama dan apabila disimpan terlalu lama, makanan akan luput dan akhirnya dibuang," katanya kepada Bernama baru-baru ini menjelang persaraan beliau.

Mohd Uzir bersara hari ini selepas 36 tahun berkhidmat dalam perkhidmatan awam dan menerajui Jabatan Perangkaan Malaysia selama sembilan tahun sejak dilantik sebagai ketua perangkawan pada 2017.

Mengulas mengenai perbezaan antara isi rumah bandar dan luar bandar, Mohd Uzir berkata pembaziran makanan secara amnya lebih tinggi di kawasan bandar, walaupun trend itu juga semakin ketara di komuniti luar bandar.

Beliau berkata peningkatan penggunaan perkhidmatan katering untuk kenduri di kawasan luar bandar juga menyumbang kepada pembaziran makanan berbanding makanan yang disediakan di rumah.

"Di kawasan bandar, pada hujung minggu mungkin terdapat lima atau enam majlis diadakan sehari dengan menu yang hampir sama. Tetamu biasanya sering menerima beberapa jemputan dan menghadirinya hanya untuk meraikan tuan rumah, (akhirnya) mengakibatkan banyak berlaku pembaziran dan lebihan sisa makanan," katanya.

Mohd Uzir berkata negeri yang mempunyai pendapatan per kapita lebih tinggi lebih terdedah kepada aktiviti yang menyumbang kepada pembaziran makanan lebih besar berbanding negeri yang kurang mengadakan majlis sosial.

Beliau juga berkata pengguna kurang cenderung menghargai makanan apabila ia mudah didapati atau dibeli pada harga diskaun.

"Dalam ekonomi, harga mencerminkan nilai barangan. Jika sesuatu tidak dihargai kerana ia mudah didapati atau mendapat diskaun yang tinggi, orang ramai tidak akan melihat lebihan makanan sebagai satu masalah. Jadi disinilah masalahnya," katanya.

Mohd Uzir berkata trend yang sama juga boleh dilihat dalam pembelian pakaian, terutamanya di platform dalam talian, apabila harga yang rendah menggalakkan pembelian berlebihan yang akhirnya membawa kepada pembaziran.

Menurut Tinjauan Petunjuk Isi Rumah Kebangsaan (NHIS) 2025, sisa makanan isi rumah di Malaysia dianggarkan berjumlah antara 31.9 kilogram (kg) dan 97.3kg per kapita setiap tahun.

Tinjauan itu mendapati pembaziran makanan lebih ketara berlaku dalam makanan yang diproses atau dimasak berbanding makanan mentah, dengan 94.1 peratus isi rumah melaporkan bahawa mereka telah membuang makanan yang diproses atau dimasak berbanding 88.7 peratus untuk makanan mentah.

Mengikut kategori makanan, sayur-sayuran menyumbang kepada kadar pembaziran makanan mentah tertinggi iaitu 29.1 peratus, diikuti buah-buahan (22.4 peratus) dan ikan atau makanan laut (15 peratus).

Bagi makanan yang diproses atau dimasak, beras mencatatkan kadar pembaziran tertinggi iaitu 16.7 peratus, diikuti sayur-sayuran (15.8 peratus) dan makanan yang dibeli dari luar (13.8 peratus).

Tinjauan itu juga mendapati bahawa 79.3 peratus isi rumah melupuskan makanan bersama-sama sisa rumah yang lain, manakala hanya 20.7 peratus mengamalkan pengasingan sisa makanan, menunjukkan bahawa pengasingan sisa makanan masih belum menjadi amalan biasa isi rumah.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement