KUALA LUMPUR: Sehingga kini, lebih daripada satu juta dos vaksin COVID-19 telah diberikan menerusi penglibatan pengamal perubatan swasta yang terdiri daripada Pusat Pemberian Vaksin (PPV) GP, PPV Hospital Swasta dan juga pengamal perubatan swasta di PPV Mega dan PPV Industri.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif ProtectHealth, Dr Anas Alam Faizli, pemberian ini melibatkan 782 fasiliti pengamal perubatan swasta dengan kapasiti lebih 90,000 dos sehari dan kapasiti ini akan terus ditingkatkan.

"Kapasiti dos daripada pengamal perubatan swasta dibawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) ini melibatkan lebih 700 klinik swasta GP, 100 buah hospital, 18 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega, termasuk PPV Industri (PPVIN).

"Tambahan pula, ketika ini lebih 200 buah GP meningkatkan tempoh operasi pemberian vaksin kepada lima hari berbanding tiga hari sebelum ini.

"Pemberian vaksin melibatkan GP di Sarawak pula kini dibuat pada kadar 50 dos sehari. Kita akan terus meningkatkan kapasiti untuk mencapai tahap imuniti kelompok," katanya menerusi perkongsian dalam Twitternya pada Isnin.

Tambah beliau lagi, GP di seluruh negara kini sedang menyumbang 18,000 dos sehari. Manakala hospital swasta pula akan menyumbang 20,000 dos.

"Kita seru sektor swasta untuk terus mengembeling tenaga menyertai PICK untuk meningkatkan kapasiti keseluruhan daripada pengamal perubatan swasta. Diharapkan lebih ramai pengamal perubatan swasta akan terlibat dalam usaha ini," katanya lagi.