SHAH ALAM: Pembangunan semula Kompleks Sukan Shah Alam termasuk bangunan stadium dijangka bermula awal tahun hadapan, kata Ketua Pegawai Eksekutif Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor Norita Mohd Sidek.

Beliau berkata buat masa ini pihaknya sedang meneliti reka bentuk konsep awal kompleks itu yang telah dibentangkan oleh pemaju dilantik iaitu Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) dan akan mendapatkan maklum balas orang ramai berkenaan reka bentuk itu.

Katanya, orang ramai boleh melawat laman sesawang rasmi MBI untuk melihat cadangan reka bentuk kompleks itu dan memberi cadangan melalui e-mel [email protected] bermula minggu hadapan.

"Kita mengalu-alukan maklum balas orang awam berkenaan kompleks baharu itu dan mereka boleh menghantarnya dalam tempoh sebulan ini," katanya pada Taklimat Media Perkembangan Pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam, di sini pada Jumaat.

Norita berkata pihak MBI dan MRCB akan membuat pameran awam dan seterusnya mendapatkan kelulusan daripada kerajaan negeri yang dijangka diperoleh pada akhir tahun ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan MRCB Mohd Imran Mohamad Salim berkata pihaknya menyasarkan pembinaan stadium di kompleks tersebut mampu mendapat kelulusan piawaian daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang mampu memuatkan sehingga 35,000 penonton.

"Kos pembinaan kompleks ini masih belum dapat dipastikan namun dijangka akan siap dalam tempoh tiga ke empat tahun," katanya.

Katanya, pembinaan kompleks atas tanah seluas lebih 80 hektar itu juga membabitkan projek pembinaan fasiliti komersial dan kemudahan awam lain yang secara langsung akan memberi hasil pulangan kepada pihak pengurusan stadium.

"Ini secara langsung memberi pendapatan kepada pihak pengurusan dan mampu menampung kos penyelenggaraan dan tambah baik kompleks itu," katanya.

Mohd Imran berkata antara projek pembangunan yang dicadangkan untuk kompleks tersebut meliputi pembinaan hotel, tapak komersial, stadium tertutup serta taman-taman awam.

-- BERNAMA