Pembinaan RV Park tanpa rundingan punca projek jadi 'tugu kesilapan' - PCMM

Farman menegaskan bahawa PCMM tidak menolak pembangunan, namun menolak sebarang projek yang tidak berpaksikan ilmu dan pengalaman pengguna sebenar. - Gambar/ PCMM
KUALA LUMPUR: Persatuan Campervan dan Motorhome Malaysia (PCMM) menyuarakan kebimbangan terhadap pembinaan beberapa taman kenderaan rekreasi (RV Park) oleh pihak berkuasa tempatan yang didakwa dilakukan tanpa rundingan bersama pengguna dan pemain industri pelancongan RV.
Ringkasan AI
- Persatuan Campervan dan Motorhome Malaysia (PCMM) menyuarakan kebimbangan terhadap pembinaan taman RV oleh pihak berkuasa tempatan tanpa rundingan bersama pengguna dan pemain industri, menyebabkan kemudahan yang dibina tidak memenuhi keperluan sebenar komuniti RV.
- Projek taman RV di Pantai Hiburan dan Pantai Bagan Lalang didakwa menjadi contoh kelemahan perancangan, termasuk ketiadaan sambungan elektrik, sistem kumbahan khas, laluan keluar masuk yang tidak sesuai dan ruang parkir yang tidak menepati saiz kenderaan RV.
- PCMM menyeru agar sesi libat urus diadakan sebelum pembinaan taman RV bagi memastikan setiap projek benar-benar memberi manfaat kepada rakyat dan tidak menjadi pembaziran sumber awam.
Beliau mendakwa, pembinaan taman RV di Pantai Hiburan di Kuala Rompin, dan Pantai Bagan Lalang di Sepang, menjadi contoh ketara bagaimana projek yang tidak dirancang dengan teliti boleh membawa kepada pembaziran sumber awam.
Antara kelemahan yang dikenal pasti termasuk ketiadaan sambungan elektrik dan sistem kumbahan khas, selain laluan keluar masuk yang tidak sesuai serta ruang parkir yang tidak menepati saiz sebenar kenderaan RV.
Farman menegaskan bahawa PCMM tidak menolak pembangunan, namun menolak sebarang projek yang tidak berpaksikan ilmu dan pengalaman pengguna sebenar.
“Kami percaya, setiap sen duit rakyat mesti dibelanjakan dengan penuh tanggungjawab. Kami menyeru agar setiap pihak berkuasa tempatan yang berhasrat membina taman RV selepas ini mengadakan sesi libat urus dengan PCMM,” katanya.
Tambah beliau, kerjasama antara pihak berkuasa dan PCMM bukan bertujuan untuk menyalahkan mana-mana pihak, sebaliknya bagi memastikan setiap projek benar-benar memberi manfaat kepada rakyat dan tidak menjadi satu lagi “tugu kesilapan” yang akhirnya terbiar tanpa pengguna.
Farman berkata, PCMM merupakan badan mewakili pemilik dan pengusaha kenderaan rekreasi seperti campervan dan motorhome di Malaysia, yang aktif memperjuangkan pembangunan ekosistem pelancongan RV yang lebih tersusun, berdaya saing dan mesra pengguna.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami