MELAKA: Taman Tema Upin Ipin yang sebelum ini dirancang dibangunkan di Alor Gajah di sini kini di peringkat rundingan akhir antara syarikat perfileman animasi popular Les' Copaque Production Sdn Bhd dan MCorp.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata rundingan yang melibatkan terma dan syarat berkaitan penggunaan tanah seluas 55.85 hektar yang menjadi lokasi pembinaan produk pelancongan baharu di negeri itu dijangka dimuktamadkan dalam tempoh dua minggu lagi.

"Setelah terma dan syarat bagi pembinaan Taman Tema Upin Ipin itu dipersetujui, kita jangka produk pelancongan baharu itu dapat direalisasikan dalam tempoh dua tahun akan datang.

"Kos pembinaan taman tema itu terserah pada Les' Copaque Production Sdn Bhd dan kerajaan negeri akan memberikan kerjasama membantu mendapatkan kelulusan serta memudah cara agar pembinaannya dapat dijalankan segera," katanya kepada pemberita di sini pada Jumaat.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival Upin dan Ipin yang turut dihadiri Penerbit dan Pengarah Urusan Les' Copaque Production Sdn Bhd Burhanuddin Md Radzi.

Ab Rauf berkata Taman Tema Upin Ipin itu akan menjadi satu daripada taman tema tempatan bertaraf antarabangsa yang dilihat mampu menarik kedatangan pelancong dalam dan luar negara pada masa hadapan.

Beliau berkata pembinaan taman tema itu juga diharap dapat terus memberi kegemilangan kepada animasi Upin Ipin dalam kalangan masyarakat pelbagai peringkat umur di negara ini selain turut dikenali di luar negara.

Mengulas mengenai Karnival Upin dan Ipin bertemakan Animasi Kesayangan Keluarga yang berlangsung tiga hari bermula hari ini, beliau berkata karnival itu dijangka mampu menarik 300,000 pengunjung dari dalam dan luar Melaka.

"Selain itu, ia juga sebagai medan ujian beberapa tarikan yang hendak dibangunkan dalam Taman Tema Upin dan Ipin tidak lama lagi dan platform untuk mempamerkan produk terbaharu daripada Les' Copaque Production," katanya.

-- BERNAMA