PUTRAJAYA: Pembudayaan inovasi dalam kalangan warga Jabatan Penerangan (JaPen) bukan sahaja dapat membantu meningkatkan tahap produktiviti malah mampu memperkasakan keberkesanan penjelasan dasar dan inisiatif kerajaan kepada rakyat.

Ketua Pengarah JaPen Datuk Mohd Sukari Ab Hamid berkata langkah itu bukan sahaja berkesan ketika menyampaikan maklumat malah bentuk penyampaian maklumat akan menjadi lebih menarik, informatif, praktikal dan cepat.

"Inovasi warga jabatan yang dibanggakan termasuklah penghasilan RIMS (Sistem Pengurusan Laporan dan Isu), pewujudan portal dbook.penerangan, pelaksanaan pusat media bergerak iaitu iM@JaPen serta pelbagai perkhidmatan secara digital JaPen seperti pengurusan Kad Perakuan Media secara dalam talian, hab informasi pengurusan media menerusi sistem D-Media dan sebagainya," menurut beliau dalam kenyataan pada Isnin.

Mohd Sukari berkata sambutan Hari Inovasi baru-baru ini terus menjadi antara agenda penting JaPen bagi mengiktiraf usaha, idea, kreativiti dan inovasi warga jabatan itu dalam menambah baik keberkesanan penyampaian perkhidmatan melalui penghasilan projek inovasi yang berkualiti dan berimpak tinggi.

Beliau berkata tema Hari Inovasi iaitu 'Digitalisasi Dibudaya, Inovasi Diperkaya' adalah bertepatan dengan transformasi JaPen yang sedang melalui fasa perubahan dalam penyampaian dan penyebaran maklumat kepada masyarakat secara strategik melalui pelbagai kaedah komunikasi selari dengan perkembangan pesat teknologi masa kini.

"Dengan pelaksanaan sambutan Hari Inovasi ini, amalan inovasi dan kreativiti dalam kalangan warga jabatan dapat dilestarikan selari dengan keperluan semasa agar kualiti perkhidmatan jabatan sentiasa meningkat seterusnya memberi impak positif kepada imej jabatan," katanya.

-- BERNAMA