KOTA KINABALU: Pembukaan sempadan negara pada 1 April ini dilihat bakal membantu memulihkan ekonomi Sabah yang terjejas teruk akibat penularan COVID-19, kata Datuk Seri Hajiji Noor.

Sambil mengalu-alukan pengumuman itu, Ketua Menteri Sabah berkata ini kerana penutupan sempadan Malaysia sejak kira-kira dua tahun lalu menjejaskan sektor pelancongan negeri yang merupakan antara sumber pendapatan utama ekonomi Sabah.

Malah jelasnya, para pemain industri pelancongan juga telah memohon supaya sempadan negara dibuka segera.

Beliau turut menegaskan pembukaan sempadan negara perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang berkesan bagi mengekang penularan COVID-19.

“Sabah telah bersiap sedia untuk mengalu-alukan kedatangan pelawat dan memastikan ini akan membantu ekonomi, bagaimanapun Sabah akan menunggu pengumuman terperinci supaya ia boleh menyelaraskan SOP untuk memenuhi keadaan dan keperluan negeri,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Baru-baru ini, Hajiji telah mengadakan perbincangan bersama Presiden Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Datuk K L Tan yang merayu untuk pembukaan semula sempadan antarabangsa.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun juga semalam berkata  Jawatankuasa Pengurusan Bencana COVID-19 Sabah akan menunggu SOP lebih terperinci diumumkan, sebelum membuat sebarang cadangan berkaitan pembukaan sempadan negara oleh kerajaan Persekutuan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin menyifatkan pembukaan semula sempadan negara sebagai langkah memastikan aktiviti ekonomi negara terus kekal berdaya saing terutamanya dalam sektor pelancongan.

Tambah beliau, kerajaan perlu mencontohi strategi yang diambil oleh negara-negara seperti New Zealand, Australia, Bali (Indonesia) dan Filipina yang melaksanakan pembukaan sempadan secara berfasa dan terancang bagi merancakkan kembali sektorsektor ekonomi yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan sempadan negara akan dibuka semula pada 1 April, selari dengan perancangan memasuki Fasa Peralihan ke Endemik.

Jelasnya, pengembara yang telah mendapat vaksin penuh tidak perlu menjalani kuarantin apabila pulang ke Malaysia, sebaliknya, mereka hanya perlu menjalani ujian COVID-19 sebelum berlepas dan ketika ketibaan.

Ismail berkata, keputusan untuk membuka semula sempadan dibuat berdasarkan "sains dan fakta terkini" mengenai COVID-19, dengan menyatakan bahawa negara lain juga telah mula membuka sempadan mereka.

Untuk rekod, sempadan negara telah ditutup sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) pertama pada Mac 2020.