Pemegang tauliah di Selangor guna modul baharu mulai 2026 - MAIS

Salehuddin berkata, modul berkenaan menjadi garis panduan strategik bagi memperkukuh kualiti, integriti dan profesionalisme pemegang tauliah. - Bernama
SHAH ALAM: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) terus memperkasakan usaha dakwah dan tarbiah di negeri ini menerusi penggunaan Modul Pengukuhan dan Profesionalisme Pemegang Tauliah Mengajar Negeri Selangor yang baharu mulai tahun depan.
Pengerusi MAIS Datuk Salehuddin Saidin berkata, modul berkenaan menjadi garis panduan strategik bagi memperkukuh kualiti, integriti dan profesionalisme pemegang tauliah dengan memberi penekanan kepada aspek akidah, fiqh, tasawuf, ajaran sesat semasa, kemahiran al-Quran serta peraturan tauliah terkini.
"Terdapat segelintir mengajar di luar kategori tauliah yang diberikan seperti pemegang tauliah M2-B yang sepatutnya hanya dibenarkan mengajar asas iqra', namun ada yang bertindak menyampaikan pengajian berkitab yang dikhususkan kepada kategori M1.
"Lebih membimbangkan terdapat kecenderungan segelintir pemegang tauliah kepada fahaman yang bercanggah dengan manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah," katanya ketika berucap pada majlis Ijtimak Pemegang Tauliah Mengajar Negeri Selangor 2025 di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.
Salehuddin berkata perbuatan sedemikian bukan sahaja menjejaskan imej dakwah dan menggugat keyakinan masyarakat terhadap institusi agama, malah boleh membawa kepada penggantungan atau penarikan balik tauliah mengajar.
Beliau berkata setiap pemegang tauliah hendaklah menjaga disiplin, memelihara akhlak dan sentiasa mematuhi segala peraturan yang telah ditetapkan agar amanah mulia menyebarkan ilmu benar-benar terpelihara serta dihormati.
"Baru-baru ini saya difahamkan ada penceramah yang tiada kaitan dengan isu atau sejarah Palestin tetapi dia bercakap tentang bagaimana kerajaan Selangor, MAIS dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tidak mengambil berat tentang isu berkaitan Palestin.
"Sekiranya seseorang itu pakar tentang latar belakang sejarah atau penjajahan di Palestin, kita akan benarkan. Perkara sebegini kita cuba elak kerana mereka akan menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat kerana kata-kata mereka mungkin tidak benar dan tidak tepat," katanya.
Salehuddin berkata pelancaran modul itu juga sejajar dengan titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menekankan pengeluaran atau pemberian tauliah untuk mengajar, memberi syarahan dan kuliah agama di negeri ini mesti dilaksanakan dengan lebih teliti serta melalui tapisan ketat.
Beliau berkata selain itu, baginda juga bertitah bahawa tauliah bukan sekadar lesen mengajar tetapi benteng penting untuk memastikan kesucian ajaran Islam terus terpelihara.
"Baginda menuntut para pemegang tauliah agar berilmu, berdisiplin dan amanah, di samping mengingatkan mereka supaya tidak menyalahgunakan platform dakwah untuk kepentingan peribadi atau menyebarkan ajaran yang menyeleweng.
"Pematuhan kepada titah ini menjadi asas kepada perpaduan, kesejahteraan serta kewibawaan dakwah Islam di Selangor," katanya.
Salehuddin berkata sehingga kini, sebanyak 5,572 penceramah diperakui sebagai Pemegang Tauliah Negeri Selangor dan angka berkenaan semakin meningkat selepas pelaksanaan sistem digital e-Tauliah yang membolehkan permohonan dibuat dengan mudah, telus dan efisien.
Terdahulu, Salehuddin diiringi Mufti Selangor yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tauliah MAIS Datuk Dr Anhar Opir, Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi negeri Dr Mohammad Fahmi Ngah serta Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar menyempurnakan upacara pelancaran Modul Pengukuhan dan Profesionalisme Pemegang Tauliah Mengajar Negeri Selangor.
Dalam acara sama, dua penerima dinobatkan Tokoh Pendakwah Negeri Selangor 2025 sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan besar mereka dalam memartabatkan dakwah Islamiah di negeri ini.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


