BELANGSUNGKAWA Prof. Datuk Dr Siddiq Fadzil.

Saya berasa amat dukacita dan sedih di atas pemergian sarjana Islam dan murabbi ummah, Prof Datuk Dr. Siddiq Fadzil petang tadi.

Allahyarham mempunyai kerjaya yang begitu phenomenal dalam khidmat beliau kepada ummah dan Islam. Allahyarham yang merupakan presiden ABIM dari tahun 1983 hingga 1991 juga memainkan peranan penting dalam menubuhkan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Persatuan Wadah Pencerdasan Umat (WADAH).

Sepanjang hayat beliau, Allahyarham terlibat secara aktif dalam dunia akademik dan merupakan seorang pendakwah dan penceramah yang popular. Beliau telah menghasilkan banyak buku and menerbitkan artikel pelbagai topik termasuk pemikiran dan sains Islam, pengajian Al-Quran, sejarah dan budaya orang Melayu Islam.

Secara peribadi saya mengenal Allahyarham sebagai seorang tokoh ilmuan yang punyai wacana mengenai falsafah pencerahan, pendidikan dan pembangunan ummah. Saya amat teruja dalam beberapa kesempatan mengadakan perbincangan dengan Allahyarham tentang pelbagai isu khususnya ummah dan sosioekonomi.

Kehebatan beliau dalam magnum opus Melayu dan Islam: Martabat Umat dan Daulat Rakyat kekal sehingga hari ini sebagai tour de force dalam wacana mengenai orang Melayu dan Islam dalam memajukan kedaulatan dan martabat umat. Dalam menghurai perspektif baharu mengenai dimensi budaya orang Melayu, Allahyarham mengemukakan pandangan bahawa dunia Melayu berakar pada tradisi dan dibangun atas prinsip nationalisme dan tidak melupakan essence of spirituality.

BACA: Bekas Presiden ABIM Siddiq Fadzil meninggal dunia

Sebagai seorang pendeta, Allahyarham telah memberi kekuatan baharu kepada Bahasa Melayu dalam pengungkapan dan buah fikiran. Setiap tulisan, mahupun syarahan beliau adalah bukti kepada kesusasteraan Melayu tinggi di mana bahasa yang menjadi wahana kepada pengucapan ilmu dan pemikiran.

Justeru, saya yakin dan percaya pemergian almarhum merupakan satu kehilangan besar bukan sahaja kepada komuniti dan dunia akademia semata-mata, tetapi juga kehilangan besar buat ummah dan tanah air ini.

Saya berdoa ke hadrat Allah SWT semoga Allahyarham dikurniakan husnul khatimah dan ditempatkan di syurga yang penuh dengan nikmat Allah SWT. Moga keluarga dan waris Allahyarham juga dianugerahkan dengan ketabahan dan kesabaran yang mendalam dalam menghadapi ujian ini.



MOHAMED AZMIN ALI
31 Ogos 2021