SERI KEMBANGAN: Di sebalik ketegasan seorang negarawan yang pernah menerajui negara selama puluhan tahun, terserlah sisi seorang suami yang sedang menanggung kehilangan paling besar dalam hidupnya.
Demikianlah perasaan yang tersirat pada wajah Tun Dr Mahathir Mohamad sepanjang mengiringi jenazah isterinya, Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, di Masjid As-Syarif, Taman Sungai Besi Indah, di sini hari ini.
Bekas Perdana Menteri berusia 101 tahun itu dilihat lebih banyak berdiam diri sambil berada di sisi jenazah Allahyarham, sesekali menundukkan pandangan dan memberikan renungan panjang terhadap insan yang menemaninya sepanjang hampir tujuh dekad kehidupan bersama.
Di perkarangan masjid, suasana hiba turut jelas kelihatan pada ahli keluarga, sahabat serta orang ramai yang hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham yang meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada usia 100 tahun.
Tatapan seorang suami terhadap insan yang telah menemani perjalanan hidupnya, dalam detik paling berat untuk menerima sebuah kehilangan.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berada di sisi jenazah isterinya di Masjid As-Syarif, Taman Sungai Besi Indah, Seri Kembangan.… pic.twitter.com/UEuLRivpfP— Astro AWANI (@501Awani) September 28, 2026
Bagi ramai yang berada di lokasi, detik Tun Dr Mahathir menemani jenazah isterinya menjadi gambaran paling jelas tentang sebuah hubungan yang telah merentasi usia, cabaran politik, pengorbanan keluarga dan perjalanan panjang membina negara.
Dr Siti Hasmah dan Dr Mahathir mendirikan rumah tangga pada 5 Ogos 1956 dan dikurniakan tujuh orang anak.
Pemergian Allahyarham berlaku hanya beberapa minggu selepas pasangan itu meraikan ulang tahun perkahwinan ke-70 mereka pada Ogos lalu.
Selain isteri kepada Dr Mahathir, Allahyarham Dr Siti Hasmah dikenali sebagai tokoh perubatan yang disegani dan antara wanita Melayu terawal dalam bidang perubatan di negara ini.
Beliau juga pernah mencipta sejarah sebagai wanita pertama dilantik sebagai Pegawai Perubatan di Bahagian Kesihatan Ibu Mengandung dan Kanak-Kanak pada 1965.
Sepanjang hayatnya, Allahyarham aktif memperjuangkan isu kesihatan awam, kebajikan masyarakat, pendidikan serta kesedaran mengenai bahaya penyalahgunaan dadah.
Sumbangan besarnya dalam bidang kesihatan dan kemasyarakatan menjadikan beliau antara tokoh wanita paling dihormati di Malaysia.
Ramai rakyat Malaysia melihat pasangan Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah sebagai pasangan pemimpin negara yang penuh dengan kasih sayang, kesetiaan dan ketabahan merentasi generasi.
Sepanjang tempoh Dr Mahathir menerajui negara, Allahyarham sentiasa berdiri teguh di belakang suaminya dalam pelbagai fasa perkhidmatan kepada negara.
Hari ini, di sisi jenazah wanita yang dicintainya itu, Dr Mahathir tidak banyak berbicara.
Namun dalam setiap tatapan dan setiap detik yang dilalui, tergambar sebuah hakikat yang sering sukar diungkapkan, bahawa ada perpisahan yang terlalu berat untuk dilafazkan, dan ada cinta yang terus hidup di sebalik kehilangan.