Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Pemergian Tun Dr Siti Hasmah: ‘Tiada kenangan terakhir tapi jutaan kenangan bersama Allahyarham’ - Mokhzani

mokhzani mahathir
Mengimbau saat terakhir bersama ibunya, Mokhzani berkongsi keluarganya masih di sisi Allahyarham dalam suasana ceria dan mesra di Institut Jantung Negara (IJN), semalam. - Astro AWANI
Advertisement

PUTRAJAYA: “There’s no one last memory, there are millions of memories.”

Demikian luahan Tan Sri Mokhzani Mahathir ketika mengenang ibunya, Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, yang meninggal dunia pada pagi Isnin.

Anak kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu berkata beliau bersyukur kerana keluarga mempunyai begitu banyak kesempatan untuk meluangkan masa bersama Allahyarham sebelum pemergiannya.

“Saya sangat bersyukur kerana kami mempunyai begitu banyak masa untuk bersama beliau.

“Kami banyak meluangkan masa bersama dalam majlis dan pertemuan keluarga sejak beberapa bulan, minggu dan hari kebelakangan ini. Jadi, kami mempunyai begitu banyak kenangan bersama,” katanya ketika ditemui selepas selesai istiadat pengebumian Allahyarham di Pusara Negara, Presint 20 di sini hari ini.

Mengimbau saat terakhir bersama ibunya, Mokhzani berkongsi keluarganya masih di sisi Allahyarham dalam suasana ceria dan mesra di Institut Jantung Negara (IJN), semalam.

Namun, katanya, keadaan berubah secara mendadak pagi ini apabila keluarga dikejutkan dengan berita pemergian Allahyarham.

“Saya rasa memang kami terkejut pagi tadi kerana semalam keluarga berada dengan Allahyarha di IJN begitu ceria, mesra.

“Tetapi pagi tadi ada perbezaan yang besar dan tidak dapat dipulihkan… beliau telah meninggal dunia,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Mokhzani menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang membantu memastikan urusan pengebumian ibunya berjalan lancar, termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), kerajaan dan pihak berkuasa Putrajaya.

“Alhamdulillah, semuanya, pengebumiannya telah selesai dengan selamat. Dan saya terima kasih kepada semua orang yang dapat datang ke sini untuk majlis ini,” katanya.

Ditanya mengenai keadaan Dr Mahathir pula selepas kehilangan isteri tercinta, Mokhzani berkata bapanya berada dalam keadaan baik, namun mengakui hari ini merupakan hari yang amat luar biasa buat keluarganya.

“He will be okay, insya-Allah. He will be okay (Dia akan baik-baik sahaja, insya-Allah. Dia akan baik-baik sahaja.),” ujarnya ringkas.

Allahyarham Dr Siti Hasmah menghembuskan nafas terakhir pada usia 100 tahun, dan meninggalkan tujuh orang anak.

Jenazah Allahyarham selamat disemadikan mengikut Istiadat Pengebumian Bertaraf Pembesar Negara sekitar pukul 6.38 petang. 

Must Watch Video

Advertisement