PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) menegaskan proses pemilihan bagi Program Latihan Kepakaran Lanjutan KKM (Tawaran C) dilaksanakan secara berstruktur, telus dan berasaskan merit.
KKM dalam kenyataan hari ini memaklumkan proses pemilihan melibatkan saringan syarat umum, penilaian profesional dan penilaian teknikal oleh bidang kepakaran masing-masing sebelum diperakukan oleh Jawatankuasa Induk Program Latihan Kepakaran Lanjutan KKM.
"Bagi sesi 2026/2027, sebanyak 672 permohonan telah diterima melibatkan Program Subkepakaran Perubatan, Subkepakaran Pergigian, Area of Special Interest (AOSI) Pergigian, Kesihatan Awam dan Kesihatan Keluarga.
"Daripada jumlah tersebut, KKM telah memperuntukkan sebanyak 400 slot latihan dan setakat ini seramai 307 calon telah ditawarkan mengikuti program berkenaan setelah memenuhi syarat umum, syarat khusus bidang serta penilaian profesional yang ditetapkan," menurut kenyataan itu.
KKM turut menjelaskan bahawa syarat berkaitan Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT) bukan ditetapkan secara unilateral oleh KKM atau Bahagian Pengurusan Latihan (BPL), sebaliknya tertakluk kepada dasar yang ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
KKM memaklumkan hasil perbincangan bersama JPA, penilaian prestasi yang disediakan sepanjang tempoh Pengalaman Kerja Yang Diselia oleh pegawai perubatan pakar kini boleh diambil kira sebagai tambahan kepada dua tahun penilaian prestasi selepas pewartaan bagi tujuan permohonan Latihan Kepakaran Lanjutan.
Mengulas rayuan melibatkan 123 pemohon, KKM memaklumkan semakan silang oleh BPL dan Bahagian Perkembangan Perubatan (BPP) mendapati kumpulan itu tidak terdiri daripada satu kategori yang seragam.
"Daripada 123 nama yang dikemukakan, hanya 20 orang dikenal pasti berada dalam kumpulan 50 calon yang sedang disemak semula susulan keputusan JPA bertarikh 19 Jun 2026.
"Daripada jumlah tersebut, hanya lapan orang memenuhi ketetapan terkini JPA untuk dipertimbangkan melalui pengambilan kira penilaian prestasi dalam tempoh SWE. Baki 115 orang didapati tidak memenuhi syarat umum dan syarat khusus yang ditetapkan oleh bidang kepakaran masing�-masing," menurut kenyataan itu.
Justeru, KKM menolak tanggapan bahawa kesemua 123 pemohon layak tetapi gagal ditawarkan tempat hanya kerana isu LNPT.
Pada masa sama, kementerian itu mengakui terdapat perbezaan pelaksanaan latihan antara Program Sarjana dan Program Parallel Pathway yang berkembang mengikut dasar dan kaedah pelaksanaan semasa.
Menurut KKM, pegawai yang mengikuti Program Parallel Pathway lazimnya masih berada dalam jawatan hakiki dan terus menjalankan tugas di fasiliti kesihatan KKM, membolehkan mereka memperoleh LNPT sepanjang tempoh latihan
"Sebaliknya, peserta Program Sarjana di bawah kemudahan Cuti Belajar Bergaji Penuh Dengan Hadiah Latihan Persekutuan (CBBP Dengan HLP) kebiasaannya tidak mempunyai LNPT kerana berada dalam status cuti belajar dan tertakluk kepada mekanisme penilaian akademik serta profesional yang berbeza," menurut kenyataan itu.
Selain itu, KKM memaklumkan terdapat juga pegawai yang mengikuti latihan melalui Program Parallel Pathway yang ditempatkan dalam Jawatan Simpanan Latihan (JSL) atau sedang menunggu penempatan ke JSL, yang menyebabkan pelaksanaan penilaian prestasi tidak dilaksanakan secara seragam di semua fasiliti dan Pusat Tanggungjawab (PTJ).
"Perkara ini mempunyai merit untuk diteliti dengan lebih lanjut. KKM sentiasa mengadakan sesi libat urus bersama JPA serta pihak-pihak berkepentingan yang berkaitan bagi menambah baik dan memperhalusi mekanisme penilaian prestasi yang lebih jelas, seragam dan setara," menurut kenyataan itu.
KKM memaklumkan usaha itu penting bagi memastikan peluang mengikuti Program Latihan Kepakaran Lanjutan dapat dinilai secara adil berdasarkan syarat yang ditetapkan, mengambil kira kepelbagaian laluan latihan kepakaran yang wujud.
Langkah itu juga bagi memastikan pembangunan subkepakaran negara dapat dilaksanakan secara mampan tanpa mengabaikan keperluan perkhidmatan dan kesinambungan penyampaian penjagaan kesihatan kepada rakyat.
-- BERNAMA