KUALA LUMPUR: Proses undi awal bagi Pilihan Raya Umum (Pemilu) 2024, yang merupakan pesta demokrasi ketiga terbesar di dunia berlangsung di Malaysia hari ini, dengan pengundian bermula dari jam 8 pagi hingga 6 petang.

Dianggarkan seramai 832,420 rakyat Indonesia yang menetap di negara ini dan berdaftar sebagai pemilih akan menunaikan tanggungjawab mereka di enam pusat pengundian.

Ia melibatkan Pusat Pengundian di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) membabitkan 222,945 pemilih, Johor Bahru (2,684), Pulau Pinang (5,375), Kota Kinabalu (2,811), Tawau (20,247) serta Kuching (2,988).

Jumlah pemilih berdaftar di Malaysia adalah kira-kira 47.55 peratus daripada keseluruhan 1.75 juta pengundi dalam daftar pemilih luar negeri di seluruh dunia bagi Pemilu kali ini.

Di WTCKL, sebanyak 233 bilik pengundian disediakan bagi melancarkan proses pemilihan hari ini.


Tinjauan Astro AWANI mendapati rakyat Indonesia yang layak mengundi mula beratur di Pusat Pengundian WTCKL seawal jam 7.30 pagi.

Pihak berkuasa Indonesia dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut berada di lokasi kejadian bagi memantau proses berkenaan.

Sebelum ini, Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Datuk Hermono menjangkakan sekitar 30 peratus daripada 832,420 rakyat Indonesia yang menetap di Malaysia akan menjalankan tanggungjawab mereka.


Suruhanjaya Pilihan Raya Umum (KPU) Indonesia menetapkan tempoh bertenang selama tiga hari untuk Pemilu 2024 bagi pemilihan presiden dan anggota legislatif bermula hari ini sehingga 13 Februari, sebelum proses pengundian dijadual pada 14 Februari.

Kempen bagi tiga pasangan calon presiden dan naib presiden Indonesia berakhir semalam selepas berlangsung selama 75 hari sejak 28 November tahun lalu.

Secara keseluruhan, lebih 20,000 kerusi dipertandingkan dalam pilihan raya perundangan Indonesia menerusi beberapa peringkat melibatkan kebangsaan, daerah (provinsi) dan kota (kabupaten).

Kira-kira 204 juta rakyat Indonesia akan meraikan pesta demokrasi dalam Pemilu 2024 pada 14 Februari ini.