Pemimpin dan anggota Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) perlu akur bahawa tiada jaminan untuk mereka mengisi jawatan tertinggi dalam institusi kerajaan serta mendapat nikmat dan ganjaran setelah menjadi kerajaan, kata Pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata walaupun mungkin ada antara mereka yang berputih mata atau kecewa namun itulah pengorbanan yang mereka perlu lakukan walaupun telah berhempas pulas membawa kemenangan kepada Bersatu dan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas.

"Ini adalah sesuatu yang menyedihkan kita, tetapi ingatlah ini janji kita.

"Kerajaan tak boleh guna kuasa untuk beri kekayaan atau tempat tertentu kepada penyokong atau pemimpin mereka," katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa Bersatu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini pada Selasa.

Turut hadir isteri Perdana Menteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin serta ketua sayap Srikandi dan Armada Datuk Seri Rina Mohd Harun dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Dr Mahathir berkata walaupun mereka tidak mendapat sesuatu daripada parti namun sebagai rakyat, mereka akan mendapat nikmat daripada negara yang ditadbir dengan baik hasil pengorbanan yang mereka berikan untuk memberi kejayaan kepada parti.

"Percayalah kita akan dapat sesuatu sama ada kita akan dapat peluang pekerjaan, peluang perniagaan, anak dapat biasiswa belajar keluar negara dan keadaan dalam negara sempuna dibekal dengan elektrik dan air yang mencukupi, dengan jalan yang baik, keretapi laju dan sebagainya," katanya.

Dr Mahathir turut menegaskan bahawa Bersatu akan terus mendapat sokongan daripada rakyat jika kekal bersih dari segala larangan.

"Untuk meyakinkan rakyat bahawa parti berpegang kepada janji, kita terpaksa berkorban apa sahaja kerana tiada tempat bagi kita dalam kerajaan yang kita wujudkan melalui tindakan dan kerja kuat kita," katanya.

Menempelak parti yang dikalahkan pada PRU14 lepas, Dr Mahathir berkata apabila mendapat kuasa, mereka menyalahgunakannya tanpa had termasuk mencuri harta kerajaan dan rakyat.

"Tetapi mereka percaya kalau mereka guna wang itu untuk tawan hati rakyat maka mereka akan tetap kekal sebagai kerajaan bagi negara kita," katanya.

Dr Mahathir berkata Bersatu adalah sebuah parti yang berkorban untuk bangsa dan negara, maka anggotanya akan menahan diri daripada membuat perkara yang akan memburukkan imej negara.

Beliau berkata hasil pengorbanan parti itu adalah menebus kembali negara yang sebelum ini digelar sebagai negara kleptokrasi.

"Hasil yang diterima kerana kita berjuang dalam parti yang miskin dan tidak dapat hulur wang, tetapi masih mencapai kemenangan cemerlang pada Pilihanraya Umum ke-14 lepas," katanya.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata kemenangan cemerlang PH di Sandakan adalah hasil sokongan padu parti di Sabah termasuk Parti Warisan Sabah (Warisan) walaupun tidak ramai yang keluar mengundi.

Beliau berkata kemenangan itu adalah kerana rakyat sedar PH adalah parti yang baik dengan pemimpinnya sanggup berkorban tanpa mengharap sesuatu.

"Rakyat lebih utamakan dan pandang tinggi kepada parti yang dianggotai pemimpin yang sanggup berkorban untuk bangsa, agama dan tanah air," katanya.

-- BERNAMA