SEREMBAN: Pemimpin atau ketua kampung perlu mempunyai data asas kampung mereka yang lengkap, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Katanya, ini bagi memastikan setiap program atau bantuan yang dilaksanakan kerajaan dapat disalurkan kepada golongan sasar dengan tepat dan lebih berkesan.

Beliau berkata pemimpin atau ketua kampung bagi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) perlu mempunyai maklumat antaranya mengenai jumlah penduduk, bilangan ibu tunggal dan golongan orang kurang upaya.

"Di peringkat Persekutuan, kita terus-menerus ada bantuan nak diberikan kepada penduduk di kampung dan bandar, bila nak bagi kena ada saluran, kadang-kadang ada masalah sikit dari segi penyampaian sebab tak sampai ke saluran sebenarnya.

"Ini menjadi sebahagian daripada tanggungjawab Persekutuan untuk melantik ketua-ketua kampung, peranan dimainkan ketua kampung ada banyak, paling utama adalah data yang patut disediakan oleh mereka," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Anggota JPKPP Negeri Sembilan yang turut dihadiri Pengerusi Majlis Tindakan Pembangunan negeri Khairy Jamaluddin di sini hari ini.

Selain itu, beliau berkata setiap ketua kampung dan pemimpin juga perlu mempunyai kemahiran dalam pentadbiran pendidikan, kesihatan dan keselamatan, agar dapat menguruskan kampung dengan lebih baik.

Katanya, JPKK dan JPKKP yang ketika ini berjumlah lebih 15,000, memainkan peranan penting dalam membantu menyediakan perkhidmatan secara sistematik kepada komuniti setempat.

Dalam pada itu, beliau berkata seramai 123 kampung di seluruh negara dicalonkan dalam pertandingan Aspirasi Kampung Sejahtera yang diadakan selama enam bulan bermula April lepas hingga Oktober ini.

-- BERNAMA