PASIR MAS: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Pasir Mas, hari ini, atas pertuduhan membunuh adik iparnya di Kampung Apa-Apa di sini, bulan lalu.

Amir Sharif Muhamad, 30, hanya mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Yusoff Abdullah. Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang bekerja sebagai pemotong kelapa sawit didakwa membunuh Nurshazreen Balqis Albadri, 17, di sebuah rumah di Kampung Apa-Apa, Bunut Susu, di sini, antara jam 8 hingga 9 pagi pada 29 Oktober lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hajarul Falenna Abu Makar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 14 Disember sebagai tarikh sebutan semula kes.