Pemuda UMNO akan membawa usul transgender untuk dibahaskan pada Perhimpunan Agung UMNO pada akhir bulan ini.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin berkata, kebimbangan Pemuda sudah tidak boleh dibendung lagi selain mahu masyarakat tahu pendirian parti terhadap isu berkenaan.

"Perkara ini akan kita bangkitkan dalam Perhimpunan Agung UMNO. Ada kebimbangan di kalangan orang Melayu...isu Mahkamah Sivil yang mencabuli Mahkamah Syariah akan dibincangkan nanti.

"Soal rayuan kita serahkan kepada kerajaan Negeri Sembilan. Cadangan itu akan kita bawa juga pada perbahasan," katanya semasa sidang media semasa Hari Terbuka Pemuda UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Hari terbuka itu memberi fokus kepada generasi Y (Gen Y) meliputi bandar dan desa dalam aspek pembelaan dan kos sara hidup golongan berkenaan.

Tiga segmen utama yang diadakan adalah sesi 'town hall meeting' atau perjumpaan awam, kongres perumahan rakyat dan pameran oleh biro-biro pergerakan tersebut.

Minggu lalu, Mahkamah Rayuan Putrajaya membuat keputusan bahawa undang-undang syariah Negeri Sembilan yang menjatuhkan hukuman kepada lelaki yang berpakaian wanita di tempat awam adalah bertentangan dengan Perlembangaan Persekutuan.

Hakim Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus, yang mengetuai panel tiga hakim memutuskan perkara berkenaan selepas mendengar rayuan tiga lelaki yang bekerja sebagai mak andam.

Ketiga-tiga lelaki itu memohon semakan kehakiman untuk mengisytiharkan fatwa syariah yang melarang lelaki daripada ‘memakai pakaian perempuan’ atau ‘menyamar sebagai seorang wanita’ di Negeri Sembilan sebagai tidak berperlembagaan.

Dalam pada itu, semasa sesi 'town hall meeting', Naib Ketua Pemuda, Khairul Azwan Harun meminta senior UMNO tidak menganggap Pemuda sebagai ancaman namun kombinasi terbaik untuk memajukan parti.

Ujarnya, sayap parti itu sentiasa setia dan menyumbang bakti kepada kemajuan organisasi politik tertua negara itu.

"Kita hormat pemimpin kita, kita perlu ada kombinasi di antara orang baru dan lama.

"Jangan anggap Pemuda sebagai ancaman tetapi harapan, kita sentiasa memberikan khidmat kepada parti dengan pengalaman daripada pemimpin sedia ada," katanya.

Jelasnya, semua isu yang dibangkitkan pada sesi berkenaan merupakan luahan hati anak muda yang mahu melihat penambahbaikan dalam parti.

"Sesi ini menjadi suara generasi muda yang kita angkat kepada pucuk pimpinan dan ianya akan menjadi input buat mereka," ujarnya.