Dewan Pemuda PAS Selangor mendesak Parti Keadilan Rakyat (PKR) supaya mengemukakan penjelasan bertulis yang munasabah atas pengosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang.

Ketua Pemuda PAS Selangor, Syarhan Humaizi Abdul Halim menegaskan jika PKR gagal berbuat demikian Pemuda PAS Selangor akan memboikot Pilihan Raya Kecil DUN Kajang.

"Merujuk kenyataan Pengarah Jabatan Pilihan Raya Dewan Pemuda PAS Malaysia, Mohd Sany Hamzan yang menuntut agar PKR mengemukakan penjelasan bertulis yang munasabah kepada Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Malaysia.

"Pemuda PAS Selangor sebulat suara bersetuju sekiranya PKR gagal berbuat demikian maka arahan akan dikeluarkan kepada seluruh jentera Pemuda PAS Selangor untuk tidak memberikan kerjasama dalam kempen Pilihan Raya Kecil DUN Kajang jika calon yang dikemukakan adalah daripada PKR," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mengulas lanjut, Syarhan Humaizi menjelaskan Pemuda PAS Selangor kesal dan kecewa dengan tindakan PKR membuat keputusan yang dilihat membelakangkan rakan daripada Pakatan Rakyat.

"Melihat situasi yang berlaku, perletakan jawatan itu hanya semata-mata untuk memberi laluan kepada Dato' Seri Anwar Ibrahim bertanding sepertimana yang telah diumumkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

"Tindakan untuk menyelesaikan masalah dalaman dan pentadbiran parti tidak seharusnya membabitkan pembaziran wang rakyat," katanya.

Katanya, Pemuda PAS Selangor berpendapat tidak wajar untuk melepaskan jawatan jika tidak mempunyai sebab yang kukuh.

Tindakan tersebut, bagi Pemuda PAS Selangor ibarat mengkhianati amanah daripada rakyat yang telah meletakkan kepercayaan penuh kepada wakil rakyat sebelum ini, Lee Chin Cheh.

"Perbelanjaan untuk pilihanraya kecil juga akan melibatkan dana daripada wang rakyat dalam jumlah yang agak besar," katanya lagi.

Semalam ADUN Kajang Lee Chin Cheh, telah meletakkan jawatannya yang disebut-sebut bagi memberi laluan kepada Anwar untuk menjadi Menteri Besar Selangor.

Anwar bagaimanapun menafikan beliau akan mengambil alih tempat Khalid sebagai Menteri Besar Selangor.

Hari ini, Pengerusi Pakatan Rakyat Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan PKR menamakan Anwar sebagai calon bertanding pada Pilihanraya Kecil DUN Kajang.