Pemuda UMNO hari ini membuat laporan polis terhadap peguam Eric Paulsen yang mendakwa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mempromosikan fahaman ekstremis di negara ini.

Laporan itu dibuat Pengerusi Biro Agama pergerakan itu Azmir Yuzaimi Mohd Yunos di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya di sini.

Azmir Yuzaimi berkata pihak polis perlu mengambil tindakan tegas terhadap Paulsen memandangkan ini bukan kali pertama Pengarah Eksekutif Lawyers For Liberty itu membuat kenyataan berunsur hasutan di laman Twitter.

"Sebelum ini pun sudah banyak kali dia membuat kenyataan berunsur provokasi terhadap Islam, tetapi selepas mendapat kritikan dia akan padam dan akhirnya senyap begitu sahaja.

"Kali ini kami mahu tindakan tegas diambil supaya ia tidak berulang lagi,"katanya kepada pemberita selepas membuat laporan itu.

Paulsen menerusi catatan di laman twitternya pada Jumaat lepas berkata:
"Jakim sedang mempromosikan ekstremisme pada setiap Jumaat. Kerajaan perlu menanganinya jika serius mahu banteras ekstremisme di Malaysia".

Kenyataan itu bagaimanapun telah dipadam setelah mendapat kritikan daripada pelbagai pihak.

Pada Sabtu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan polis akan menyiasat Paulsen mengikut Akta Hasutan 1948.