KUALA LUMPUR: Pemuda UMNO menggesa Peguam Negara menarik balik notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan tuntutan permohonan kewarganegaraan ibu-ibu warganegara Malaysia ke atas anak-anak mereka yang dilahirkan di luar negara dan berbapakan warga asing.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki menjelaskan, pihaknya juga menggesa pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) harus segera menguatkuasakan keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Beliau menegaskan, JPN perlu mengetepikan prosedur-prosedur di bawah Perkara 15(2) bagi menyelesaikan kesemua permohonan yang tertunggak sepertimana saranan Mahkamah Tinggi.

"Kegagalan pihak JPN dalam mematuhi keputusan mahkamah bukan sahaja boleh dianggap ingkar mahkamah tetapi akan turut menjejaskan hasrat murni Keluarga Malaysia yang dipelopori Perdana Menteri dalam menjamin keutuhan institusi keluarga serta menjamin hak-hak kanak-kanak terlibat untuk mendapatkan kepentingan terbaik mereka ditegakkan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau menjelaskan, amalan tidak memberikan kewarganegaraan terhadap anak kepada ibu warga Malaysia dan bapa warga asing yang lahir di luar negara telah mengakibatkan ketidakadilan yang tidak berasas sama sekali.

Asyraff  Wajdi menjelaskan, amalan ini mengakibatkan kesulitan yang berpanjangan dan menjejaskan hak kanak-kanak untuk mendapat akses kepada pendidikan di sekolah-sekolah awam serta rawatan perubatan di hospital-hospital Kerajaan dan kemudahan-kemudahan asas yang lain.

"Keperitan emosi dan mental pihak-pihak ini hanya kerana anak-anak mereka dilahirkan di luar negara tidak wajar dibiarkan berterusan berlaku.

"Situasi ini, jika tidak dihentikan akan berlanjutan sekian lama lagi dan akan menyebabkan kesan-kesan negatif dan kecelaruan terhadap kebajikan kanak-kanak, perkembangan mereka serta hubungan keluarga dengan adik-beradik yang lain dan prospek-prospek kehidupan seterusnya.

"Permasalahan yang melanda kanak-kanak hanya kerana mereka dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara yang mengahwini warga asing telah diselesaikan dengan pendekatan bijaksana oleh Mahkamah Tinggi dengan memberi takrifan kepada istilah ‘bapa’ untuk merangkumi ‘ibu’ jua," katanya lagi.

Pada Rabu, ketika sesi menggulung perbahasan di Dewan Rakyat, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin menjelaskan kerajaan mengemukakan rayuan dalam kes ini bertujuan untuk menangguhkan pelaksanaannya sementara perlembagaan dipinda.

Jelasnya, pindaan perlembagaan akan memudahkan ibu-ibu Malaysia yang berkahwin dengan warga asing untuk melahirkan anak di luar negara dan memohon kewarganegaraan anaknya di negara ini.

Bagaimanapun Hamzah menjelaskan cadangan tersebut perlu mendapat persetujuan Majlis Raja-Raja terlebih dahulu sebelum draf pindaan Perlembagaan boleh diteruskan.