KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kos Sara Hidup Pakatan Harapan (PH) menyambut baik beberapa inisiatif kerajaan Perikatan Nasional dalam membantu meringankan beban yang dihadapi rakyat.

Antaranya termasuk bantuan bakul makanan dengan jumlah pemberian yang dinaikkan daripada RM100,000 kepada RM300,000 bagi setiap kawasan Parlimen, termasuk kawasan pembangkang.

"Kami menyarankan agar kerajaan dapat menyalurkan peruntukan ini serta merta kepada semua ahli-ahli Parlimen untuk mengelakkan peristiwa terdahulu berulang kembali," kata mereka dalam satu kenyataan hari ini.

Jawatankuasa yang terdiri daripada sembilan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PH itu telah mengadakan perbincangan khas berkenaan Pakej PEMULIH yang diumumkan Perdana Menteri pada 28 Jun lalu.

"Pada pandangan kami, kerajaan boleh mengambil langkah yang lebih berani untuk membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat di semua peringkat," kata mereka. 

Wakil rakyat yang terlibat dalam jawatankuasa ini adalah Hassan Abdul Karim (PKR-Pasir Gudang), Datuk Hasanuddin Mohd Yunus (Amanah-Hulu Langat), Chong Chieng Jen (DAP-Stampin), Natrah Ismail (PKR-Sekijang), Sivakumar Varatharaju Naidu (DAP-Batu Gajah), Norhayati Bachok (Amanah-Maharani), Chan Foong Hin (DAP-Kota Kinabalu), Asmirul Anuar Aris (Amanah-Kubang Rotan) dan Cha Kee Chin (DAP-Rasah).

Mereka turut menyeru kerajaan negeri agar mengambil langkah sama dengan memberi peruntukan secara adil dan saksama, mengangkat hak demokrasi rakyat dan semangat federalisme.

Berhubung isu moratorium, jawatankuasa itu berkata, pihaknya menilai daripada perspektif rakyat secara keseluruhannya dan menyokong sepenuhnya langkah kerajaan dalam memberikannya secara automatik tanpa faedah yang jelas kepada semua golongan.

"Kementerian Kewangan dan institusi perbankan perlu sedar bahawa langkah ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat yang mesti dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat jelata," katanya.


Pada masa sama, beberapa cadangan turut dikemukakan jawatankuasa ini untuk dipertimbangkan kerajaan bagi membantu kos sara hidup rakyat di semua peringkat.

Ia termasuk Bantuan Sara Hidup di mana mereka menyokong cadangan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa bantuan bulanan RM1,500 perlu diberikan kepada setiap keluarga dari golongan B60 sepanjang tempoh 'lockdown'.

"Jawatankuasa ini mencadangkan agar peruntukan tambahan sebanyak RM1,000 diberikan kepada setiap isi rumah daripada golongan M20 sepanjang tempoh lockdown ini berjalan.

"Akibat pendapatan yang berkurangan kesan daripada lockdown, sebahagian golongan M40 telah turun kepada B40 dan ia telah melebarkan lagi kesenjangan pendapatan berdasarkan Laporan Majlis Tindakan Ekonomi Malaysia," katanya.