KUALA LUMPUR: Wujud keperluan mendesak untuk pertubuhan kemanusiaan antarabangsa menghantar pelbagai bantuan kepada penduduk Afghanistan.

Menurut Ketua Pegawai Operasi, Global Peace Mission Malaysia (GPM), Syahrir Azfar Salleh, sekiranya bantuan dalam bentuk politik tidak dapat disalurkan, sekurang-kurangnya bantuan dalam bentuk kemanusiaan perlu diusahakan.

Jelas beliau, adalah penting meredakan kemarahan atau kesakitan masyarakat Afghanistan pada ketika ini supaya ia tidak semakin meruncing.

"Kerisauan kami adalah apabila masyarakat Afghanistan semakin tertekan, ia akan menyebabkan berlakunya pergolakan dalaman.

"Isunya pada waktu sekarang kita dapat melihat kebanyakan mereka yang ada di jalanan ketika ini, mereka memegang senjata.

"Jadi apabila berlaku sesuatu tekanan yang berpanjangan, kita risau akan berlaku satu lagi krisis di antara penduduk Afghanistan yang tidak berpuas hati dengan cara pemerintahan Taliban dalam tempoh panjang," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Beliau dalam masa sama menggesa pemimpin dunia Islam melakukan sesuatu untuk meredakan pergolakan yang masih lagi berlaku di Afghanistan pada ketika ini.

Mengulas berkenaan pemantauan GPM di Afghanistan, pihaknya berpendapat, beberapa perkara mendesak perlu diberi tumpuan.

Malah, pihaknya turut mencadangkan kepada Kementerian Luar supaya satu pusat kemanusiaan ditubuhkan bagi menangani pelbagai keperluan mendesak rakyat negara itu.

"Insya-Allah, kita usahakan satu Pusat Kemanusiaan Malaysia di Kabul ini untuk menangani isu-isu bantuan kemanusiaan.

"Kita himpunkan dana untuk membantu secara bersama dan signifikan kepada penduduk Afghanistan.

"Jadi saya rasa, ini yang perlu kita usahakan dari sudut kesihatan, makanan, bekalan air bersih dan bantuan meningkatkan kemahiran wanita di sana ketika ini," katanya.

Pada Jumaat, Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, penasihat beliau, Datuk Ahmad Azam Ab Rahman akan memulakan siri lawatan ke negara-negara yang mempunyai hubungan rapat dengan pentadbiran di Kabul, iaitu Turki, Qatar dan Pakistan bagi membincangkan lebih banyak bantuan kemanusiaan.

Pihaknya juga akan memberikan bantuan kepada mana-mana NGO yang mahu menghulurkan khidmat dan bantuan kepada negara itu.


Konflik Afghanistan | Pengeboman kali ketiga masjid Afghanistan