Polis menafikan dakwaan pihaknya tidak mempunyai kuasa untuk menahan peguam dan aktivis Siti Zabedah Kassim atau dikenali sebagai Siti Kassim serta anak guamnya.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff berkata tindakan dilakukan pihak polis dibuat mengikut undang-undang diperuntukkan di bawah Kanun Keseksaan Akta 574 dan Kanun Prosedur Jenayah Akta 593.

"Pihak polis ingin menegaskan bahawa segala tindakan yang diambil mengikut peruntukan undang-undang sedia ada iaitu di bawah Kanun Keseksaan Akta 574 dan Kanun Prosedur Jenayah Akta 593.

"Justeru, kami menyangkal dakwaan dibuat pihak berkenaan seperti dinyatakan dalam video berkenaan.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 363 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana dakwaan culik dan mengganggu penjawat awam menjalankan tugas yang juga kesalahan lazim ditangkap," katanya dalam kenyataan.

Tular di media sosial video berdurasi tiga minit yang mendakwa polis tidak mempunyai kuasa untuk menahan Siti Kassim serta anak guamnya seperti didakwa menerusi yang viral sejak awal pagi tadi.

Siti Kassim ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang jam 12.40 tengah malam tadi selepas polis menyerbu sebuah kondominium di Segambut, Kuala Lumpur kira-kira jam 9 malam tadi.

BACA: Siti Kassim ditahan halang tugas penjawat awam

Ia dikatakan bagi 'menyelamatkan' seorang wanita berusia 24 tahun selepas menerima laporan polis dibuat ibu mangsa pada 21 Jun lalu.

BACA: Mahkamah tolak permohonan reman Siti Kassim