Ketua Pemuda Gerakan, Tan Keng Liang berkata kenyataan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa yang memberi amaran tindakan tegas termasuk penamatan perkhidmatan akan diambil terhadap penjawat awam yang didapati terlibat dalam Himpunan Anti-Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada Khamis lalu dilihat sebagai tidak mencerminkan sebagai mendukung konsep demokrasi di negara ini.

“Kerajaan Persekutuan Barisan Nasional bukanlah kerajaan yang bersifat diktator maka kenyataan Tan Sri Dr Ali Hamsa itu menentang prinsip demokrasi yang terbuku dalam Perlembgaan Persekutuan,” kata Tan dalam satu kenyataan medianya kepada Astro AWANI.

Dalam kenyataan Ali itu, penjawat awam perlu menyokong setiap polisi dan aspirasi kerajaan dan bukannya bertindak menentang.

“Jika Ketua Setiausaha merasakan bahawa terdapat penjawat awam telah melanggar undang-undang seperti yang ditetapkan Akta Perhimpunan Aman 2013, beliau sepatutnya melaporkan perkara itu kepada polis untuk satu tindakan dibawah undang-undang negara,”.

Tan menggesa Ali supaya tidak sewenang-wenangnya mengambil tindakan di tangannya sendiri dan membelakangkan Perlembagaan Persekutuan kerana ianya melanggar prinsip Barisan Nasional.

“Penjawat awam adalah rakyat Malaysia juga dan mereka tidak sepatutnya diancam dengan pemecatan atau penamatan perkhidmatan mereka hanya kerana mereka melakukan hak-hak mereka seperti yang tertakluk dalam Perlembagaan Persekutuan,”.

Dalam Artikel 10 (1) (a) Perlembagaan Persekutuan, setiap warganegara Malaysia mempunyai hak kebebasan bersuara dan ekspresi dan selain itu juga, Artikel 10 (1) (b) juga menerangkan bahawa setiap warganegara mempunyai hak kebebasan untuk berhimpun dengan aman tanpa penggunaan senjata meskipun secara undang-undangnya Parlimen telah menghadkan kebebsan tersebut demi menjaga ketenteraman dan keselamatan awam.