KUALA LUMPUR: Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2022 mendapati pencapaian program penanaman padi di kawasan seluas 416,415 hektar atau 64.3 peratus daripada 647,936 hektar kawasan penanaman padi di seluruh negara tidak memuaskan.

Menurut laporan itu yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini, terdapat jelapang padi belum diwartakan sebagai kawasan penanaman padi setakat 31 Dis 2022, menyebabkan kawasan penanaman padi di empat jelapang mengalami penyusutan sebanyak 11,123 hektar.

Empat jelapang padi itu ialah Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kerian, IADA Barat Laut Selangor, IADA Kawasan Pembangunan Pertanian Terengganu Utara (Ketara) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA).

Prestasi tidak memuaskan disebabkan masalah bekalan benih padi asas tidak mencukupi, sekali gus membuka ruang kepada penggunaan benih padi tidak diiktiraf Jabatan Pertanian Malaysia, selain kelewatan pengagihan baja kepada pesawah serta pergantungan kepada perkhidmatan jentera pihak swasta disebabkan hanya 589 daripada 892 jentera pertanian boleh beroperasi.

Laporan itu juga mendapati baki peruntukan terkumpul setakat 2022 berjumlah RM448.87 juta yang disalurkan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) kepada Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) bagi pemberian subsidi dan insentif kepada pesawah, tidak dibelanjakan.

"KPKM juga didapati tidak menjaga kepentingan kerajaan apabila meluluskan secara keseluruhan pengecualian denda kelewatan penghantaran baja berjumlah RM211.27 juta kepada pembekal.

"Selain itu, terdapat kelemahan dalam pemantauan baki peruntukan yang berada di LPP dan agensi yang terlibat dengan Program Pengukuhan Produktiviti Penanaman Padi di Lain-lain Kawasan Pengairan (EPP 11)," menurut laporan itu.

Berikutan itu, KPKM disaran mewujudkan pangkalan data bersepadu dan menyeluruh meliputi maklumat berkaitan pesawah, pihak terlibat dalam rantaian pengeluaran padi, keluasan kawasan penanaman padi, hasil pengeluaran padi dan beras, pendapatan pesawah serta maklumat lain yang berkaitan.

KPKM melalui agensi yang terlibat juga disaran memastikan semua skim bantuan yang diperuntukkan digunakan secara optimum bagi membantu golongan sasar mengurangkan kos pengeluaran padi, seterusnya mendapat manfaat daripada bantuan yang disalurkan.

Bagi meningkatkan produktiviti pengeluaran padi, pihak audit mengesyorkan KPKM memastikan keperluan benih asas di lapangan mencukupi, bantuan baja sampai mengikut tempoh ditetapkan, menyediakan perkhidmatan jentera dan mekanisasi yang dapat memenuhi keperluan pesawah serta pengairan dan saliran diselenggara dengan baik.

LKAN 2022 turut merumuskan pengurusan Kawasan Perlindungan Marin oleh Jabatan Perikanan memuaskan daripada aspek pelaksanaan program restorasi, rehabilitasi dan pencapaian litupan karang hidup kerana telah mencapai sasaran yang ditetapkan.

Pihak Audit pada masa sama menyarankan Jabatan Perikanan supaya mewujudkan mekanisme dan libat urus dengan pihak-pihak terlibat bagi memastikan kutipan hasil taman laut teratur selain memastikan program penyenggaraan bangunan dilaksanakan secara berkala agar dapat digunakan dengan selamat.

-- BERNAMA