SHAH ALAM: Insiden pencemaran air di Sungai Batang Benar ekoran kebakaran sebuah kilang cat di Nilai 3, Negeri Sembilan petang semalam tidak menjejaskan bekalan air kepada pengguna di Selangor.

Menurut Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor Hee Loy Sian, ini kerana Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) telah mengambil tindakan pantas kawalan di tapak yang berjaya mengelakkan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih.

"Siasatan awal mendapati terdapat aliran air berwarna putih telah masuk ke Tasik Ujana Nilai Impian, Negeri Sembilan sebelum masuk ke Sungai Batang Benar. Insiden tersebut dikesan berikutan kerja-kerja memadamkan api di kawasan kilang cat berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata susulan itu ujian pensampelan bau telah dilaksanakan di tiga lokasi berbeza di Sungai Pajam, Sungai Beranang dan Sungai Semenyih dengan ketiga-tiga ujian mencatatkan kadar bau sifar ton.

Menurutnya ujian pensampelan yang dilakukan LUAS pada 8 pagi tadi juga kekal merekodkan bacaan sifar ton sementara aliran air dalam keadaan normal.

Hee berkata Badan Kawal Selia Air Negeri Sembilan juga telah dimaklumkan berhubung insiden tersebut dan sedang menjalankan siasatan di kawasan yang terlibat di negeri itu.

-- BERNAMA