JOHOR BAHRU: Lelaki warga Singapura yang dilaporkan hilang ketika mendaki bersama rakannya di Hutan Simpan Panti Timur, Kota Tinggi, semalam, ditemukan selamat petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Hussin Zamora berkata Jason Ren Jie berusia 30-an ditemukan selamat oleh orang awam setelah mangsa berjaya keluar sendiri dari hutan kira-kira 2.20 petang.

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan telefon dari orang awam pada 2.22 petang memaklumkan telah menemui seorang lelaki di Kilometer 52, Jalan Kota Tinggi - Mersing berhampiran Kubu Jepun (Batu 15).

"Bertindak atas maklumat tersebut, pasukan Response Team telah digerakkan ke lokasipenemuan dan mangsa dalam keadaan selamat dengan hanya mengalami luka-luka kecil. Dia dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk menerima rawatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Operasi mencari dan memyelamat mangsa yang masuk hari kedua di Hutan Simpan PantiTimur, Kota Tinggi, dimulakan 10 pagi tadi, melibatkan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Perhutanan Wilayah Johor Selatan (Kota Tinggi) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Daerah Kota Tinggi.

Sementara itu, Hussin berkata mangsa dan rakannya akan diserahkan kepada Jabatan Perhutanan untuk tindakan lanjut memandangkan mereka tidak mendapatkan kebenaran dan permohonan permit bagi memasuki Kawasan Hutan Simpanan Kekal.

Beliau menasihati orang ramai yang berhasrat untuk melakukan aktiviti pendakian terutama di kawasan Hutan Simpan agar mendapatkan permit kebenaran terlebih dahulu dari Pejabat Perhutanan Daerah Kota Tinggi, mendapatkan khidmat malim gunung dan memaklumkan pergerakan masuk serta keluar kepada Balai Polis yang terdekat bagi mengelak kejadian sebegini berulang lagi.

Dalam kejadian semalam, lelaki berkenaan dilaporkan hilang kira-kira 1 tengah hari selepas mendaki bersama rakan lelakinya yang juga warga tempatan.

-- BERNAMA