MALAYSIA
Pendakwa raya mohon perintah halang Na'imah urus aset di Jersey

GAMBAR FAIL: Toh Puan Na'imah Abdul Khalid, 67, hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada 18 Feb 2025. - BERNAMA
KUALA LUMPUR: Pihak pendakwa raya hari ini memfailkan permohonan ex-parte di Mahkamah Tinggi di sini bagi menghalang Toh Puan Na'imah Abdul Khalid, balu kepada Allahyarham Tun Daim Zainuddin, atau mana-mana pihak yang berkaitan dengannya daripada menguruskan aset luar pesisir berjumlah AS$157.5 juta (kira-kira RM667 juta) dan GBP85 juta (kira-kira RM4.9 bilion) yang terletak di Jersey, sebuah wilayah naungan Mahkota British.
Permohonan itu difailkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Maziah Mohaide di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Jamil Hussin mengikut Seksyen 53 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).
Maziah berkata permohonan itu dibuat susulan siasatan mengikut Seksyen 113 Akta Cukai Pendapatan dan Seksyen 4(1) AMLATFPUAA.
Pendakwaan mendakwa aset tersebut diperoleh oleh Na'imah atau individu yang mempunyai kaitan dengannya di Malaysia dan tidak diisytiharkan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).Ini merupakan permohonan ketiga difailkan oleh pihak pendakwaan selepas dua permohonan terdahulu membabitkan aset di United Kingdom dan Singapura.
Sementara itu, peguam Na'imah, Syed Afiq Syed Albakri, memohon untuk campur tangan dalam prosiding berkenaan dan meminta supaya dokumen berkaitan diserahkan kepadanya.
Mahkamah kemudian membenarkan permohonan peguam itu untuk memfailkan permohonan sebagai pencelah dan menetapkan 22 Ogos depan untuk mendengar permohonan pencelah tersebut, yang akan didengar terlebih dahulu sebelum permohonan pihak pendakwaan.
Pada 22 Mei lepas, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki mendedahkan bahawa lapan kertas siasatan telah dibuka berdasarkan maklumat baharu daripada agensi luar negara berhubung aset milik Tun Daim, keluarganya dan proksi.
Azam berkata maklumat terkini menunjukkan aset tersebut tidak diisytiharkan semasa siasatan SPRM pada 2023.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami