Pendakwaan bantah permohonan Abu Sahid dapatkan pasport untuk ke London

Pertuduhan dikemukakan terhadap Abu Sahid, antaranya mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan akan mengemukakan bantahan terhadap permohonan Pengarah Maju Holdings Sdn Bhd Tan Sri Abu Sahid Mohamed untuk mendapatkan pasport bagi membolehkan beliau menghantar anak perempuannya ke universiti di London pada Januari tahun depan.
Timbalan Pendakwa Raya Aznika Mohd Anas memaklumkan mahkamah bahawa pihaknya telah menerima notis permohonan Abu Sahid berhubung perkara itu semalam dan akan memfailkan afidavit esok.
"Pihak kami akan membantah permohonan itu... oleh itu, kami mohon supaya satu tarikh pendengaran ditetapkan," katanya ketika kes itu disebut di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Suzana Hussin hari ini.
Peguam Datuk Jasbeer Singh, yang mewakili Abu Sahid, pula berkata pihaknya akan memfailkan afidavit balasan pada Isnin depan dan memohon tarikh pendengaran ditetapkan pada 17 Dis ini.
"Pihak kami juga mohon supaya kehadiran Tan Sri Abu Sahid dikecualikan oleh mahkamah pada tarikh berkenaan," katanya.
Suzana kemudian menetapkan 17 Dis ini untuk mendengar permohonan itu.
Abu Sahid didakwa atas lima pertuduhan iaitu sebagai Pengarah Maju Holdings Sdn Bhd, beliau yang diamanahkan dengan penguasaan wang milik syarikat dalam akaun bank, telah menyalahgunakan lebih RM458.5 juta di sebuah bank di Taman Tunku dan Taman Serdang Perdana dekat sini antara 3 Mei 2016 hingga 21 Okt 2019.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.
Beliau turut berdepan 10 pertuduhan memindahkan hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM116,449,536.12 daripada akaun miliknya kepada lima individu dan empat syarikat pembinaan.
Bagi tiga lagi pertuduhan pengubahan wang haram, Abu Sahid didakwa melupuskan hasil daripada aktiviti haram iaitu wang berjumlah keseluruhan RM22,802,612.86 dengan membuat pengeluaran tunai melalui 15 keping cek daripada akaun miliknya di bank sama antara 4 Mei 2016 hingga 19 Sept 2018.
Abu Sahid didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah wang terlibat, jika sabit kesalahan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


