Skip to main content

Hiburan

Selena Gomez disaman pelabur berhubung syarikat pemula kesihatan Mental Wondermind

Selena Gomez attends the fifth annual Academy Museum Gala in Los Angeles, California, U.S., October 18, 2025. REUTERS/Mario Anzuoni
Saman difailkan pelabur terhadap Wondermind Global, Gomez, ibunya Mandy Teefey dan bekas rakan kongsi perniagaan Daniella Pierson. - Gambar fail/Reuters
Advertisement

ANKARA: Selena Gomez dan pengasas lain syarikat pemula kesihatan mental Wondermind disaman pelabur yang mendakwa mereka diperdaya mengenai prospek syarikat itu serta penglibatan penyanyi berkenaan dalam perniagaan tersebut, lapor Anadolu Ajansi.

Lima pelabur yang bertindak menerusi dua syarikat pelaburan memfailkan saman itu pada Khamis di mahkamah persekutuan di Delaware terhadap Wondermind Global, Gomez, ibunya Mandy Teefey dan bekas rakan kongsi perniagaan Daniella Pierson.

Plaintif berkata mereka melabur hampir AS$1.2 juta dalam saham keutamaan Siri A Wondermind pada 2022 selepas menerima jaminan mengenai kepimpinan syarikat, produk yang dirancang dan potensi sumber pendapatan.

Ditubuhkan pada 2021, Wondermind menyifatkan dirinya sebagai platform kecergasan mental yang menawarkan kandungan kesihatan mental yang mudah diakses, podcast, lembaran kerja dan surat berita.

Menurut saman itu, Gomez diperkenalkan sebagai pengasas bersama, ketua pegawai impak dan ketua pemasaran. Pelabur mendakwa mereka dimaklumkan bahawa Gomez akan terlibat secara langsung dalam pembangunan dan promosi syarikat itu, termasuk menerusi pengikutnya yang ramai di media sosial.

Saman itu turut mendakwa pelabur dimaklumkan bahawa Wondermind telah memperoleh atau sedang membangunkan kerjasama dengan majikan utama termasuk JPMorgan dan Fidelity, selain merancang perjanjian pengiklanan, paparan selebriti di muka depan penerbitan dan aplikasi mudah alih.

“Kerjasama itu tidak wujud. Inisiatif berkenaan tidak pernah direalisasikan. Aplikasi itu tidak pernah dibangunkan,” menurut saman berkenaan.

Pelabur turut mendakwa Wondermind gagal mendedahkan masalah kewangan dan operasi yang semakin meruncing dan mereka hanya mengetahui banyak daripada masalah itu selepas satu laporan siasatan media diterbitkan pada September 2025.

Saman itu merangkumi dakwaan penipuan sekuriti, penipuan di bawah undang-undang lazim, pelanggaran kontrak serta dakwaan pelanggaran lain. Plaintif memohon supaya pelaburan mereka dibatalkan atau ganti rugi dibayar, selain faedah, kos perundangan dan yuran peguam.

Pierson menafikan dakwaan itu dan berkata beliau mengalu-alukan peluang untuk mengemukakan dokumen serta rekod kewangan bagi menyokong pendiriannya.

Beliau turut menafikan menggunakan wang pelabur untuk perbelanjaan peribadi.

Gomez, Teefey dan Wondermind belum memberikan maklum balas secara terbuka mengenai saman itu. Dakwaan berkenaan belum dibuktikan di mahkamah.

-- BERNAMA-ANADOLU

Must Watch Video

Advertisement