SHAH ALAM: Ahli perniagaan, Nicky Liow dilepas dan dibebaskan daripada 26 pertuduhan pengubahan wang haram (AMLA) membabitkan lebih RM36 juta, selepas pendakwaan menarik balik kes berkenaan tiga tahun lalu.
Peguamnya, Datuk Rajpal Singh yang mewakili Nicky atau nama sebenarnya Liow Soon Hee berkata, Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan untuk tidak meneruskan pendakwaan selepas menerima representasi yang dikemukakan pihak pembelaan.
Beliau berkata, Nicky juga telah melunaskan tunggakan cukai RM400,000 kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi menyelesaikan pertuduhan berkait Borang Nyata Cukai bawah Akta Cukai Pendapatan.
"AGC telah menerima representasi yang kami kemukakan sebelum ini dan Nicky dibebaskan pada 15 Jun 2023," katanya ketika dihubungi media.
Pada 12 April 2022, Nicky, 38, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, di atas 26 pertuduhan tersebut.
Mengikut semua pertuduhan, dia dan tiga syarikat itu didakwa secara langsung melibatkan diri dalam transaksi yang melibatkan hasil daripada aktiviti haram dan dua pertuduhan memiliki wang hasil sama, berjumlah lebih RM36 juta.
Perbuatan itu dilakukan di Malayan Banking Berhad, cawangan Bandar Puteri Puchong dan Ampang pada 2016 hingga 2021.
Kesemua pertuduhan dibuat mengikut perenggan 4(1)(a) dan 4(1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613] (AMLATFPUAA) yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta sama.
Kesemua pertuduhan dibuat mengikut perenggan 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613] yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta sama.
Ia memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, yang mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan. - Sinar Harian