KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan menarik balik rayuan untuk membatalkan pembebasan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam dua kes pengubahan wang haram membabitkan RM9.5 juta yang didakwa diterima daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan dua kes kerana membuat pengisytiharan palsu kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

"Oleh itu, rayuan tersebut di hadapan Mahkamah Rayuan dianggap ditolak menurut Peraturan 73 Kaedah-Kaedah Mahkamah Rayuan 1994," kata firma itu.

Penarikan balik rayuan itu bermakna pembebasan Muhammad Shafee dalam keempat-empat kes itu kekal.

Menurut kenyataan itu, keputusan Peguam Negara/Pendakwa Raya bukan sahaja menggunakan budi bicara tanpa gentar atau pilih kasih tetapi menyokong keputusan Mahkamah Tinggi yang tidak boleh dipertikaikan di mana hakim mendapati dalam fakta dan undang-undang bahawa tiada unsur daripada kesalahan predikat (aktiviti haram) untuk menimbulkan pertuduhan pengubahan wang haram dan dengan itu membebaskan Muhammad Shafee daripada semua pertuduhan tanpa dipanggil membela diri.

"Sehubungan itu, Tan Sri Muhammad Shafee ingin mengucapkan terima kasih kepada peguamnya, keluarga, rakan-rakan dan orang ramai atas sokongan tidak berbelah bahagi mereka sejak lima tahun lepas semasa beliau berusaha untuk membuktikan beliau tidak bersalah atas pertuduhan itu.

"Beliau akan meneruskan urusan profesionalnya dengan dedikasi dan integriti yang sama yang sentiasa membimbingnya dalam memberi khidmat kepada anak guamnya dan terus komited untuk menegakkan prinsip keadilan dan kesaksamaan untuk semua," menurut firma itu.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz ketika dihubungi mengesahkannya dan berkata penarikan balik rayuan tersebut difailkan pada 1 Dis.

Pada 29 Okt 2022, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Jamil Hussin melepas dan membebaskan Muhammad Shafee daripada keempat-empat pertuduhan selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya pada akhir kesnya.

Pada 13 Sept 2018, Muhammad Shafee mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima hasil daripada aktiviti menyalahi undang-undang melalui cek yang dikeluarkan oleh Najib, yang telah dimasukkan ke akaun Muhammad Shafee di CIMB Bank Berhad.

Beliau didakwa menerima cek bernilai RM4.3 juta pada 13 Sept 2013, dan satu lagi RM5.2 juta pada 17 Feb 2014.

Muhammad Shafee turut didakwa atas dua pertuduhan terlibat dalam urus niaga hasil daripada aktiviti haram, iaitu mengemukakan penyata cukai yang tidak betul, yang melanggar perenggan 113 (1) (a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2013, dan 31 Dis 2014.

-- BERNAMA