TENOM: Pendakwah terkenal, Ebit Lew, dihadapkan di mahkamah di Tenom, pada Jumaat, dipercayai membabitkan 11 pertuduhan termasuk berkaitan gangguan seksual.

Ebit Lew, 37, tiba di Mahkamah Litar di Pejabat Daerah Tenom, di sini, kira-kira jam 9 pagi dengan menaiki sebuah kereta Toyota Vellfire serta ditemani sekumpulan individu lain.

Sementara itu, perkarangan Pejabat Daerah Tenom turut dikawal pihak polis sejak awal pagi tadi.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan turut dijadualkan akan mengadakan sidang media berhubung kes itu selepas selesai proses pertuduhan terhadap Ebit Lew.

Difahamkan, Ebit Lew kini berada di Sabah untuk menjalankan kerja amal.

Pada 3 Februari lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan kertas siasata  kes gangguan seksual melibatkan Ebit hampir lengkap.

Julai lalu, siasatan terhadap pendakwah terkenal itu dilakukan selepas polis menerima laporan daripada beberapa individu mendakwa pendakwah tersebut melakukan gangguan seksual.

Susulan laporan itu, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 23 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.