UJIAN kesakitan yang sedang dilalui pendakwah ternama Indonesia, Ustaz Arifin Ilham mendapat liputan meluas media Indonesia.

Sebaik disahkan mengidap kanser limfoma tahap empat, Ustaz Arifin sejumlah tokoh besar agama berkunjung ke hospital untuk menziarahinya.

Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) dan ahli politik yang akan bertanding kerusi Presiden Indonesia, Prabowo Subianto turut tidak ketinggalan menziarahi tokoh agama yang disenangi dan dihormati ramai itu.

Dan pada Khamis, Ustaz Arifin telah diterbangkan ke Pulau Pinang untuk menerima rawatan intensif di sebuah hospital swasta terkenal di negeri itu.

Laporan media Indonesia menyebut, ulama berkenaan diterbangkan ke Pulau Pinang menerusi sebuah pesawat peribadi pada awal pagi.

Sementara itu, anak beliau, Muhammad Alvin Faiz yang menemani Ustaz Arifin memohon masyarakat agar mendoakan kesejahteraan bapanya yang kini sedang dirawat di hospital.

Muhammad Alvin yang menemani bapanya ke Malaysia turut berkongsi foto wad hospital di mana Ustaz Arifin dirawat.

Profil Ustaz Arifin Ilham:

1. Berasal dari Banjarmasin

Ustaz Muhammad Arifin Ilham lahir di Banjarmasin, Indonesia pada 8 Jun 1969. Berusia 49 tahun, beliau merupakan anak kedua daripada lima adik beradik dan merupakan satu-satunya anak lelaki di keluarganya.

Ayahnya, Ismail Marzuki merupakan keturunan ketujuh Syekh Muhammad Arsyad al-Banjari iaitu seorang ulama tersohor di Kalimantan sementara ibunya, Nurhayati merupakan kelahiran Haruyan, Kabupaten Hulu Sungai Tengah.

2. Mendirikan Az-Zikra

Arifin Ilham mengasaskan majlis taklim bernama Az-Zikra pada tahun 2000 di Sentul, Bogor.

3. Penyayang Binatang

Difahamkan, Ustaz Arifin memelihara banyak binatang seperti burung hantu, kera dan ayam di rumah ibu angkatnya, Cut, di Jakarta.

4. Hampir meninggal dunia akibar dipatuk ular

Ketika menyampaikan ceramahnya, Ustaz Arifin pernah bercerita dia pernah dipatuk ular peliharaannya sehingga jatuh sakit dan berada dalam keadaan kritikal. Dia kembali sembuh selepas dirawat lebih sebulan di hospital.

5. Berdakwah dan berzikir bersama banduan

Ustaz Arifin pernah bercerita perkara yang paling berkesan dalam pengalaman berdakwah ialah ketika berkongsi ilmu dengan banduan di penjara.

6. Punya tiga isteri

Ustaz Arifin sememangnya diketahui ramai memiliki tiga orang isteri. Beliau pernah berkongsi foto ketiga-tiga isterinya di laman sosial Facebook dan Instagram pada Oktober 2017.