Pendedahan hartawan George Soros yang membiayai Bersih, Merdeka Center dan Malaysiakini sudah dibuat sejak 12 tahun lalu.

Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Datuk Lokman Noor Adam berkata, ia sekali gus membuka ruang penguatkuasaan undang-undang mewajibkan parti-parti politik mengisytiharkan sumber dana politik masing-masing.

"Dengan pendedahan oleh DC Leaks ini dan pendedahan saya 12 tahun lalu, suka atau tidak, jawatankuasa yang telah ditubuhkan untuk membentuk peraturan ini kena pastikan walaupun kalau pembangkang tak setuju dengan cadangan kerajaan, perkara ini perlu diteruskan.

"Selagi peraturan tidak wujud untuk menyekat dana asing, maka dana asing akan terus disalurkan ke dalam negara kepada NGO, pertubuhan atau media untuk menggulingkan kerajaan. Kita tahu Malaysia sedang diancam isu dana luar," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut laporan media hari ini, satu kumpulan asing dipengerusikan jutawan George Soros membiayai beberapa organisasi tempatan dalam programnya mempengaruhi keputusan pilihan raya umum akan datang.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, ia harus disiasat secara emperikal, iaitu berdasarkan pemerhatian dan ujian saintifik.

Sebelum ini, Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menjelaskan inisiatif baharu membanteras rasuah bagi mengawal pembiayaan politik dan menyiasat penyalahgunaan dana di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara Anti-Rasuah.

Berdasarkan laporan kajian Barometer Rasuah peringkat nasional yang dilaksanakan badan bukan kerajaan (NGO) Transparency International Malaysia pada 2014, parti politik menduduki tempat pertama sebagai institusi paling banyak mengamalkan rasuah di peringkat global.

Kajian rambang itu mendapati daripada 2,000 rakyat Malaysia yang menjadi responden, 45 peratus daripada mereka melihat parti politik mengamalkan rasuah tertinggi diikuti dengan polis (42 peratus).

Dalam pada itu, Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa menjelaskan, UMNO akan mewujudkan pasukan khas menyiasat dakwaan gerakan Bersih dibiayai oleh Yayasan Masyarakat Terbuka (OSF) milik Soros.

Tegasnya, kesahihan pembongkaran laman web DC Leaks itu perlu diteliti secara terperinci. Katanya, kerajaan tidak boleh tergesa-gesa membuat kesimpulan kerana banyak berita mengenai kerajaan disiarkan dan perlu ditangani secara tertib.