KANGAR: Pendidikan Islam merupakan asas terpenting dalam usaha membangun dan memperkasakan umat Islam, titah Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Baginda bertitah ia penting dalam memastikan generasi umat Islam negeri ini terus berpegang dengan ajaran agama Islam yang sahih berdasarkan manhaj Ahlus Sunnah Waljamaah seperti yang termaktub dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Perlis 1948.

"Dalam usaha memperkasakan pendidikan Islam di negeri Perlis, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs) telah membangunkan kurikulum Sekolah Agama Petang Perlis (SAPPs) dan dilaksanakan bersepadu dengan kurikulum Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) dibawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)," titah baginda.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan merasmikan Majlis Apresiasi Institusi Pendidikan Islam Negeri Perlis 2023 di sini, malam tadi.

Pada majlis yang sama baginda berkenan melancarkan buku Tafsir Ringkas Faizuddin.

Hadir sama dalam majlis malam tadi ialah Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli, Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Ketua Bahagian Pendidikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Hanifuddin Roslan dan Ketua Penolonh Pengarah Bahagian Pendidikan JAKIM Mohd Anuar Abd Rani, dan barisan exco kerajaan negeri.

Pemangku Raja Perlis itu bertitah, dalam usaha memperkasakan lagi kurikulum itu dan diselaraskan dengan ko-kurikulum di bawah KPM, Sekolah Integrasi Perlis (SIPs) telah diperkenalkan bagi mengoptimumkan pengajian pendidikan Islam negeri ini khususnya di sebelah petang.

Baginda bertitah dalam usaha memperkasakan pendidikan islam negeri, Mesyuarat MAIPs yang lepas memutuskan secara dasarnya untuk memberikan kebenaran mengurus kepada JAIPs bagi membangunkan Kompleks di Guar Jentik sebagai Pusat Latihan Islam Negeri.

-- BERNAMA