Penduduk yang terbabit dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran di daerah Kota Setar diminta untuk menghubungi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB), sekiranya memerlukan bantuan makanan.

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berkata ia bagi membolehkan agensi yang ditugaskan di PKOB menyampaikan bantuan kepada penduduk yang terputus bekalan makanan berikutan perintah itu.

"Lebih 330,000 penduduk terlibat dengan PKPD ini dan kita tidak mampu untuk cari seorang-seorang sebab itu kita minta mereka hubungi PKOB. Bila panggilan dan aduan diterima, kita akan hantar bantuan makanan berupa keperluan asas seperti beras dan gula kepada mereka.

"PKOB ini telah dibuka sejak hari pertama PKPD dan sehingga kini kita telah menerima 20 panggilan yang memohon bantuan makanan. Bagi mendapatkan bantuan, penduduk boleh menghubungi PKOB di talian 04-7028070," katanya kepada pemberita di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Terdahulu, beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas Kedah menyerahkan sumbangan hasil kutipan pada Muktamar Tahunan Pas semalam berjumlah RM63,556 kepada Pegawai Daerah Kota Setar, Datuk Mohd Asri Redha Abdul Rahman bagi membantu meringankan beban penduduk yang terlibat dalam PKPD.

Sementara itu, Muhammad Sanusi juga menyeru mana-mana agensi atau badan bukan kerajaan (NGO) yang mahu menghulurkan sumbangan supaya tidak melakukannya secara sendirian ke kawasan PKPD.

"Apabila ada pihak luar masuk sampaikan sumbangan tanpa melalui PKOB, kita bimbang berlaku penularan wabak COVID-19. Contohnya, di PKPD Amanjaya sebelum ini ada pergerakan bebas sedikit dan itu yang menyebabkan satu daripada tiga zon yang terlibat perlu menyambung tempoh PKPD lagi.

"Kita tidak mahu perkara itu berlaku di PKPD Kota Setar, jadi saya minta semua penduduk patuh arahan dan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan untuk memastikan rantaian wabak ini dapat diputuskan dengan segera," katanya.

-- BERNAMA