Penduduk lega, anggap penggantian titi gantung sebagai hadiah Tahun Baharu

Penduduk meninjau keadaan jambatan gantung yang rosak untuk digunakan sementara waktu selepas bergotong-royong membaikinya ketika tinjauan di Sungai Chatel Damai, Lata Rek hari ini. - Foto Bernama
KUALA KRAI: Harapan lebih 50 penduduk Kampung Chatel Damai, Lata Rek di sini untuk memiliki sebuah titi gantung yang selamat selepas lebih dua dekad bergantung kepada jambatan yang uzur dan berisiko semakin menjadi kenyataan.
Ini susulan arahan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya peruntukan disediakan bagi menggantikan segera titi gantung di situ yang runtuh sekali gus menjejaskan akses harian penduduk setempat.
Penduduk Wan Syukri Wan Isa, 53, berkata kewujudan titi gantung baharu amat dinanti-nantikan kerana ia laluan utama mereka berulang-alik melakukan rutin harian seperti bekerja dan membeli barangan keperluan asas sama ada dengan menggunakan motosikal atau berjalan kaki.
"Saya anggap pengumuman Perdana Menteri sebagai hadiah istimewa buat kami sempena tahun baharu 2026 dan berharap penggantian titi itu dapat disegerakan," katanya kepada Bernama semasa ditemui di kampung itu hari ini.
Wan Syukri berkata terkejut apabila mengetahui lebih 20 tetamu majlis perkahwinan anak perempuan keduanya terjatuh ke dalam sungai kerana titi gantung itu runtuh kira-kira 2 petang Khamis lepas.
"Suasana ketika itu cemas kerana ada yang membawa anak dan saya juga bimbang jika ada perkara lebih teruk berlaku. Saya difahamkan ada yang cedera tetapi mereka telah menerima rawatan di hospital dan klinik berdekatan," katanya.
Muhammad Deraman, 63, pula berkata beberapa penduduk mula bergotong-royong membaiki titi gantung itu semalam untuk kegunaan sementara bagi mempermudah urusan ulang-alik mereka, namun mengingatkan penggunanya perlu berhati-hati.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Lata Rek Mohd Zamri Mohd Nor, 60, berkata penduduk di situ bergantung kepada laluan sedia ada yang telah uzur dan berisiko membahayakan keselamatan.
"Di Kampung Lata Rek ada dua titi uzur sering digunakan penduduk, iaitu titi gantung Jelekis yang dibina pada 1994 dan ada lebih 50 buah rumah di situ manakala titi gantung Chatel Damai dibina pada 2002 yang menghubungkan lima rumah.
"Apabila Perdana Menteri mahu menggantikan titi gantung Chatel Damai, kami sangat bersyukur dan saya harap kerajaan juga dapat membaiki titi gantung Jelekis," katanya.
Sementara itu, tinjauan Bernama hari ini mendapati walaupun Titi Gantung Chatel Damai di Lata Rek boleh digunakan semula selepas dibaiki secara gotong-royong namun strukturnya masih tidak stabil dan berisiko kepada keselamatan pengguna.
Keadaan lantai titian serta kabel sokongan yang tidak kukuh menyebabkan penduduk perlu berhati-hati semasa melalui titi tersebut.
Semalam, Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan memaklumkan Anwar mengarahkan peruntukan disediakan bagi menggantikan segera titi gantung itu yang runtuh sehingga menyebabkan orang awam cedera serta menjejaskan akses harian penduduk sekitar.
Susulan pengumuman itu, Kerajaan Negeri Kelantan merakamkan penghargaan kepada Anwar dan telah mengarahkan Pejabat Tanah dan Jajahan Kuala Krai untuk menyelaras segala urusan berkaitan bersama Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri serta agensi terlibat bagi memastikan kerja itu disegerakan dan dilaksanakan secara teratur.
Khamis lepas, tular di media sosial suasana meriah majlis perkahwinan bertukar cemas apabila titi gantung dilalui tetamu tiba-tiba runtuh sehingga menyebabkan beberapa orang terjatuh ke dalam Sungai Chatel Damai di Lata Rek.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


