Seorang penebang pokok kritikal manakala pembantunya cedera selepas terjatuh ketika melakukan kerja menebang pokok di sini, tengah hari tadi.

Ia berlaku di Kilometer 68.8, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dekat Simpang Tanjung Jara, Dungun kira-kira jam 12.15 tengah hari.

Ketika kejadian mangsa, Che Wan Rani Che Wan Deraman, 57, dan pembantunya, Che Wan Mohd Asri Che Wan Mustafa, 39, berada pada ketinggian 12 meter.

Kedua-dua mangsa berada di dalam kotak skylift dan sedang melakukan kerja menebang pokok sebelum tiang skylift terbabit dipercayai patah sebelum terhempas.

Susulan itu, mereka tercampak ke atas jalan dan seorang mangsa, Che Wan Rani mengalami kecederaan parah di bahagian muka dan kepala.

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Dungun, Kapten (PA) Ramlan Ros Wahib berkata, seramai tiga anggota APM dengan sebuah ambulan bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan.

Menurutnya, kedua-dua mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Dungun untuk menerima rawatan lanjut.