KUALA LUMPUR:Kajian mendalam perlu segera dijalankan untuk meneliti punca sebenar kejadian banjir kilat yang berlaku di sekitar kawasan Zoo Negara, pada petang Khamis.

Bagaimanapun, Aktivis Alam Sekitar, Amlir Ayat tidak menolak kemungkinan bahawa sistem saluran paip yang tidak mampu menampung pembangunan pesat di kawasan berkenaan menjadi punca kepada kejadian tersebut.

Jelas beliau lagi, kewujudan aktiviti penebangan hutan dan pembuangan sampah turut dipercayai antara punca banjir kilat.

"Kita juga mendapatkan maklumat terdapat pembangunan yang dicadangkan di kawasan tersebut, di kawasan pangsapuri.

"Walaupun masih di peringkat cadangan tetapi khabarkan telah ada penerbangan hutan di kawasan tersebut dan hal ini telah dimaklumkan kepada pihak berkuasa.

"Saya rasa mereka akan meneliti keadaan ini dan memantau perkembangannya dan melihat sama ada aktiviti tersebut sebenarnya boleh dijalankan, walaupun masih di peringkat cadangan," katanya kepada Astro AWANI dalam temu bual menerusi Skype, pada Jumaat.


Astro AWANI turut dimaklumkan bahawa kemungkinan punca kejadian banjir tersebut akibat limpahan air Sungai Kemensah, yanga mana sungai berkenaan turut mengalir di dalam kawasan Zoo Negara.

Pemerhatian Astro AWANI mendapati terdapat beberapa kawasan perumahan dan perkampungan di sekitar kawasan tersebut.

Mengulas lanjut, Amlir berkata, cadangan untuk membesarkan kedua-dua sungai berkenaan bagi mengekang kejadian sama berulang akan menelan kos yang tinggi.

"Jadi, apa yang penting ialah kita melihat dahulu apakah punca-punca sebenar dan jika punca sebenar itu boleh diatasi atau boleh dihentikan, kita hentikan dahulu punca tersebut.

"Kita tidak mahu membelanjakan kos yang terlampau tinggi sedangkan punca sebenar itu tidak selesai.

"Jadi, kita belanjakan  wang yang banyak untuk mendalamkan sungai tetapi punca sebenar itu tidak diselesaikan, maka masalah ini akan terus berlaku," tambahnya.


Selain itu, beliau berkata usaha menerapkan nilai-nilai positif mengenai kepentingan penjagaan alam sekitar perlu dilakukan di peringkat awal persekolahan lagi.

Amlir berkata, ia penting bagi memastikan kelestarian dan pembangunan mapan boleh dicapai pada masa akan datang.

"Banyak orang yang ada maklumat dan ilmu berkenaan alam sekitar tetapi tidak ada nilai (kepentingan alam sekitar).

"Mesti ada usaha untuk memupuk nilai-nilai positif di peringkat pra sekolah, maknanya mesti hormat alam sekitar.

"Apabila kita mengolah sumber-sumber alam, kita hanya mengolah benda yang perlu sahaja. Jadi, kalau kita mula dari sekarang, Insya-Allah kita akan dapat melahirkan generasi baharu yang melihat alam sekitar sebagai perlu diurus dengan baik, dan bukannya memenuhi kehendak kita yang kadang-kadang melampau," jelasnya.

Terdahulu, sebuah rakaman memaparkan detik cemas menyelamatkan beberapa ekor haiwan yang terperangkap selepas Zoo Negara dilanda banjir, tular di laman sosial. 

Meskipun air naik sehingga paras lutut, kakitangan zoo termasuk dua orang doktor sanggup meredah banjir bagi memastikan semua haiwan selamat.

Difahamkan, kejadian sama pernah berlaku pada Disember tahun lalu, namun insiden terbaru lebih teruk.