Secara keseluruhan, penembusan jalur lebar bagi setiap 100 isi rumah di Malaysia pada suku pertama tahun ini mencapai kadar 67.3 peratus, hasil daripada pelbagai inisiatif kerajaan untuk merapatkan jurang digital antara masyarakat bandar dan luar bandar, kata Tabung Kanak-kanak Bangsa Bersatu (Unicef) Malaysia.

Bagaimanapun, pertubuhan itu berkata, di kawasan tertentu seperti Kuala Lumpur, kadar penembusan mencapai 115.7 peratus, manakala Kelantan pula hanya 41.2 peratus.

"Dengan kadar 8.4 penembusan jalur lebar tetap (berwayar) bagi setiap 100 penduduk, Malaysia mengatasi banyak negara anggota Asean lain," kata Unicef dalam ulasan berdasarkan kajian bertajuk "Exploring The Digital Landscape in Malaysia" (Meneroka Landskap Digital di Malaysia) di sini.

Ulasan itu berkata lebih 31,121 lokasi titik panas diwujudkan di negara ini, yang membolehkan orang ramai mengakses Internet dengan mudah melalui peranti peribadi seperti telefon mudah alih dan tablet.

Kata Unicef berikutan kadar penembusan lebih tinggi itu, jumlah pengguna telefon selular mengalami pertambahan sejak beberapa tahun lepas, manakala jumlah pelanggan telefon talian tetap dan telefon awam pula semakin berkurangan.

"Menurut data Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), bagi suku pertama 2014, kadar penembusan selular bagi setiap 100 penduduk adalah 143.7 peratus.

"Langganan prabayar jauh melebihi langganan pascabayar iaitu sebanyak kira-kira 35.2 juta berbanding 7.8 juta, manakala penyedia perkhidmatan telekomunikasi utama pula ialah Telekom Malaysia, Celcom, Maxis, Digi dan UMobile," katanya.

Unicef berkata Malaysia mencatat pencapaian itu (penembusan jalur lebar dan selular) hasil daripada strategi dan inisiatif utama yang dilaksanakan kerajaan bagi merapatkan jurang digital di negara ini.

"Antara strategi dan inisiatif itu ialah meluaskan liputan selular dan WiFi di lokasi strategik di kawasan sasaran melalui Kampung Tanpa Wayar 1Malaysia," kata kajian itu.

Ulasan kajian Unicef setebal 62 muka surat itu dibuat berdasarkan maklumat yang diterimanya daripada agensi kerajaan seperti MCMC dan syarikat untuk memberi kefahaman tentang akses dan penggunaan Internet oleh rakyat Malaysia.

Ia juga merupakan bahan rujukan berguna mengenai kajian yang dibuat sebelum ini tentang pengalaman 'online' kanak-kanak di Malaysia, di samping memberi wawasan bernilai dalam bidang penyelidikan baharu untuk dipertimbang semua pihak yang berminat meneruskan projek berkaitan warga digital.