SHAH ALAM: Penemuan terbaharu empat ekor anak Harimau Malaya yang dirakam perangkap kamera pada awal tahun lalu memberi harapan baharu terhadap usaha menyelamat spesies berkenaan daripada pupus.

Menerusi imej dikongsikan World Wildlife Fund (WWF), tiga ekor anak harimau itu dilihat berjalan di hadapan bersama ibunya manakala seekor lagi berada di bahagian sebelah kanan.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif WWF-Malaysia Sophia Lim berkata, penemuan itu perkembangan yang dialu-alukan terutamanya menjelang sambutan Hari Harimau Global pada bulan ini.

“Dengan populasi harimau yang kini berjumlah kurang daripada 150 ekor di Semenanjung Malaysia, perkembangan terbaharu ini memperbaharui harapan bahawa spesis yang terancam kritikal ini dapat diselamatkan daripada ambang kepupusan.

“Adalah lebih penting untuk kami meneruskan rondaan untuk melindungi anak-anak ini dan ibu mereka daripada ancaman pemburuan haram dan kehilangan habitat sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Secara purata, harimau melahirkan dua hingga empat ekor anak setiap dua tahun.

Jika semua anak mati, harimau boleh bunting untuk anak seterusnya dalam tempoh lima bulan dengan mengambil kira ia mendapat pasangan sihat dan mempunyai keadaan sesuai bagi pembiakan.

Pengarah Perbadanan Taman Negeri Perak (PSPC), Shah Redza Hussein berkata, kehadiran anak harimau itu menunjukkan bahawa dengan habitat yang sesuai dan ketersediaan makanan sepatutnya, haiwan itu boleh membiak.

"Kami memerlukan usaha antipemburuan haram berterusan yang lebih kukuh untuk memastikan anak-anak ini selamat daripada pemburu dan boleh bertahan sehingga dewasa

“Ia memerlukan usaha kolaboratif. Penampakan ini adalah bukti bahawa dengan populasi yang berdaya maju, walaupun kecil, harimau masih boleh hidup semula jika habitat, makanan dan keselamatan mereka terjamin," jelasnya.

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia, pasukan anti-pemburuan haram WWF-Malaysia dan Unit Peronda Orang Asli Menraq PSPC kerap membuat rondaan di Taman Negeri Royal Belum, meliputi kawasan seluas 117,500 hektar.

Pelaksanaan rondaan yang kerap berjaya mengurangkan insiden pemburuan haram kepada hampir 98 peratus.

Undang-undang yang lebih ketat bagi jenayah hidupan liar juga dijangka berkuat kuasa pada bulan ini dengan Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2020 (Akta 716) menjadikan denda maksimum kepada RM1 juta daripada RM500,000 bagi pesalah.

Dua lagi kejayaan penting dalam membanteras insiden pemburuan haram adalah penubuhan Pasukan Petugas Harimau Kebangsaan yang diketuai oleh Perdana Menteri, dan penubuhan Biro Jenayah Hidupan Liar di bawah Polis Diraja Malaysia.

Pada 30 dan 31 Julai tahun ini, WWF-Malaysia dengan kerjasama Maybank akan mengadakan Hari Harimau Global dengan tema 'Roar For Life Eco-Festival' yang akan diadakan di Pavilion Bukit Jalil, Kuala Lumpur. - Sinar Harian