KUALA LUMPUR: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mendesak bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, menjalani hukuman penuh seperti yang telah diputuskan oleh mahkamah tertinggi negara sebelum ini.

Dalam satu kenyataan, Jawatankuasa Pemandu Bersih berkata, walaupun Lembaga Pengampunan mempunyai hak Perlembagaan untuk memberi pengampunan, keputusan itu akan memberi kesan besar kepada kepercayaan seluruh rakyat terhadap sistem keadilan negara.

"Mengapakah kes Najib diberikan keutamaan untuk dipertimbangkan sedangkan hari ini masih ramai mereka yang dipenjara khususnya dari kalangan rakyat yang masih menunggu peluang untuk mendapatkan ruang pengampunan?

"Negara tidak boleh memberi isyarat bahawa pemimpin politik yang melakukan kesalahan dan disabitkan bersalah boleh mengambil jalan pintas untuk bebas daripada hukuman, seolah-olah ada undang-undang dua darjat untuk orang biasa dan orang atasan," katanya.

Mengulas lanjut, Bersih berkata, Mahkamah Persekutuan pada 2022 telah mengekalkan sabitan terhadap jenayah yang dilakukan oleh Najib yang menyeleweng wang negara sebanyak RM42 juta dalam kes SRC International dan menjatuhkan hukuman penjara selama 12 tahun serta denda RM210 juta.

"Sabitan ini sangat jelas menunjukkan bahawa Najib telah merompak wang negara dan di pihak Bersih, kami tidak melihat kewajaran untuk mengurangkan hukuman penjara mahupun denda yang disabitkan.

"Justeru, Lembaga Pengampunan wajib menjelaskan alasan-alasan pengurangan hukuman kerana kesalahan beliau melibatkan penyelewengan wang negara yang berjumlah jutaan ringgit," katanya.

Bersih berkata, sebelum ini pihaknya telah melancarkan satu petisyen pada tahun 2022 untuk mengumpul pandangan rakyat terhadap isu pengampunan Najib Razak.

"Petisyen yang telah ditandatangani oleh lebih 150,000 rakyat Malaysia mencerminkan sentimen rakyat yang sangat kuat untuk menolak pembebasan Najib atau mana-mana pemimpin politik yang disabitkan kesalahan rasuah dan pecah amanah," katanya.

Lembaga Pengampunan pada Jumaat memaklumkan Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bersetuju mengurangkan hukuman dan denda yang dikenakan terhadap Najib.

Lembaga tersebut mengesahkan hukuman penjara beliau dikurangkan dari 12 tahun ke enam tahun, dan denda terhadapnya dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Namun, sekiranya denda tidak dibayar, tempoh penjara bagi Najib ditambah selama setahun di mana tarikh pembebasan adalah pada 23 Ogos 2029.