SHAH ALAM: Pengampunan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak menghalang kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan kes sivil yang masih berjalan di mahkamah daripada diteruskan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, proses pengampunan tidak bermakna kerajaan akan mengendurkan pendirian dalam memerangi rasuah dan salah guna kuasa.
“Kita akan teruskan kes-kes yang masih berjalan di mahkamah. Kes 1MDB masih berterusan. Kes sivil masih terus.
“Ia tidak menghalang. Siapa kata kita kendur, undur?” katanya dalam ucapan semasa menghadiri Majlis Hi-Tea Reunion Perintis Reformis di Grand Ballroom, SITC, Shah Alam pada Ahad.
Dalam pada itu, Anwar mempertahankan pendiriannya bahawa setiap banduan mempunyai hak untuk mengemukakan rayuan pengampunan untuk dipertimbangkan Lembaga Pengampunan, termasuk Najib.
Katanya, pendirian itu telah dinyatakannya sejak dua tahun lalu ketika pemerintahan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Anwar turut menjelaskan bahawa nasihatnya sebagai Perdana Menteri bukan menjurus kepada sesuatu keputusan berhubung pengampunan Najib.
“Apakah nasihat saya itu ke arah keputusan? Tidak.
“Saya tetap mengingatkan tentang kes yang masih berjalan. Saya tetap mengingatkan bahawa denda itu terlalu besar. Saya tetap mengingatkan bahawa kesannya kepada keyakinan rakyat kepada sistem dan pandangan antarabangsa itu harus diberikan perhatian,” katanya.
Menurut Anwar, nasihat sama turut disampaikan kepada Al-Sultan Abdullah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong, dan kepada Yang di-Pertuan Agong ketika ini, Sultan Ibrahim.