Bajet 2014 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak disifatkan inklusif, responsif dan mapan serta meliputi semua aspek yang diperlukan rakyat.

Pengarah Kanan, Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju), Norizan Sharif, berkata Perdana Menteri menggunakan Bajet 2014 untuk menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap kehendak rakyat.

Norizan berkata keprihatinan itu boleh dilihat umpamanya dalam isu perumahan yang sering menjadi antara kegelisahan rakyat khususnya yang berpendapatan rendah.

"Menerusi Bajet 2014 ini kita lihat Perdana Menteri guna strategi untuk menyediakan rumah yang secukupnya untuk memenuhi keperluan rakyat.

"Kita lihat kerajaan menggerakkan bukan hanya Syarikat Perumahan Negara Berhad untuk menyediakan rumah mampu milik tetapi juga pihak swasta yang lain," katanya kepada Astro AWANI.

Beliau seterusnya menjelaskan pembentangan Bajet 2014 juga membuktikan kerajaan memberi tumpuan kepada perkara-perkara penting yang boleh menjana ekonomi negara.

Katanya, biarpun subsidi gula ditarik tetapi ia bukan bermakna kerajaan menekan rakyat sebaliknya perkara tersebut sudah difikirkan kebaikan terhadap rakyat.

"Penarikan subsidi gula tidak akan membebankan rakyat tetapi perlu dilihat dalam skop yang lebih besar," katanya.

Norizan berkata tumpuan kini lebih ditumpukan kepada cabaran yang dihadapi untuk melaksanakan apa yang telah diumumkan kerajaan.

Katanya, kebiasaannya kegagalan pelaksanaan menyebabkan bajet yang dibentangkan Perdana Menteri sering dilihat tidak sempurna dan tidak menepati janji.