Skip to main content

Malaysia

Penganggur mengaku salah samun dalam masjid

GEORGE TOWN - Seorang lelaki mengaku bersalah di atas pertuduhan menyamun seorang wanita di sebuah masjid dalam kejadian pada minggu lalu.  Zainal Ahmad, 54, membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret Nadratun Naim Mohd Said di Mahkamah Majistret 3 di sini pada Selasa.
Tertuduh mengaku bersalah menyamun seorang wanita ketika menunaikan solat Subuh di Masjid Kapitan Keling
Advertisement

GEORGE TOWN: Seorang lelaki mengaku bersalah di atas pertuduhan menyamun seorang wanita di sebuah masjid dalam kejadian pada minggu lalu.

Zainal Ahmad, 54, membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret Nadratun Naim Mohd Said di Mahkamah Majistret 3 di sini pada Selasa.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang tidak bekerja didakwa telah samun beg tangan milik Nazihah Zainol Abidin, 48 yang di dalamnya mengandungi kad pengenalan, kad bank, kunci kereta, telefon bimbit, wang tunai berjumlah RM600 dan sebentuk cincin berlian dengan tujuan hendak melakukan curi.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu pada jam 6.15 pagi 24 Jun lalu di dalam ruang solat wanita Masjid Kapitan Keling di sini.

Oleh demikian, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, manakala tertuduh diwakili Yayasan Biro Guaman Kebangsaan, Nur Adilla Zaharuddin

Timbalan Pendakwa Raya, Siti Marissa Safina Saiful Adli menawarkan hukuman tegas dan bersifat pencegahan terhadap tertuduh berikutan kes berlaku di dalam masjid.

"Saya mohon hukuman yang tegas kerana tertuduh melakukan jenayah berkenaan di dalam masjid yang mana, ia merupakan tempat untuk solat dan sepatutnya menjadi tempat yang selamat.

"Perbuatan tertuduh itu telah mencemarkan kesucian rumah ibadat," katanya.

Nur Adilla kemudiannya memohon mahkamah mengenakan hukuman penjara daripada tarikh tangkap.

"Tertuduh telah bercerai dan merupakan seorang penganggur. Dia juga menghidap penyakit asma.

"Saya percaya pengakuan bersalah tertuduh telah menjimatkan masa mahkamah. Oleh demikian, saya mohon hukuman penjara bermula daripada tarikh tangkap," katanya.

Nadratun kemudiannya menjatuhkan hukuman 12 bulan penjara dan denda RM1,000.

Tertuduh akan dipenjara satu bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan seorang wanita mengalami kerugian kira-kira RM5,000 selepas beg tangannya dilarikan seorang lelaki ketika sedang menunaikan solat Subuh di sebuah masjid di Jalan Kapitan Keling di sini pada Rabu lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.15 pagi itu, mangsa berusia 48 tahun yang berada di ruang solat wanita menyedari perbuatan suspek yang cuba melarikan beg tangannya sebelum bertindak menghalang lelaki berkenaan.

Bagaimanapun suspek melarikan diri bersama beg tangan milik mangsa namun berjaya ditahan kira-kira jam 5.27 petang hari sama di Terminal Feri Pengkalan Raja Tun Uda di sini ketika dipercayai cuba melarikan diri dengan menggunakan perkhidmatan feri. - Sinar Harian

Must Watch Video

Advertisement